Farid Kamil profesional, tak tunjuk kesedihan – Pengarah

Farid Kamil profesional, tak tunjuk kesedihan – Pengarah

KUANG: Pengarah filem Bisikan Dosa, Faizul A. Rashid, kagum dengan sikap profesional Farid Kamil dalam menyelesaikan kerja lakonannya untuk filem berkenaan meskipun dalam keadaan pelakon itu berdepan masalah rumah tangga ketika ini.

Kata Faizul, tumpuan pelakon tersebut tidak terganggu malah tetap memberikan komitmen penuh walaupun terkesan dengan permohonan cerai yang bakal difailkan isterinya, Diana Danielle.

“Saya kenal Farid sebelum dia jadi pelakon lagi. Sudah tentu kalau saya lalui apa yang dia hadapi sekarang ini, saya akan terkesan.

“Tapi saya kagum dengan Farid kerana dia sangat profesional. Dia tetap hadir ke lokasi penggambaran untuk selesaikan kerja-kerjanya.

“Terus terang, saya kagum disiplin dan kekuatan dalamannya,” katanya ketika ditemui pada sesi penggambaran filem Bisikian Dosa dekat sini.

Diana beberapa hari lepas mengejutkan dunia hiburan tanah air apabila mengumumkan di media sosial untuk sekali lagi menuntut cerai selepas satu tahun rujuk semula dengan suaminya itu.

Kata Faizul lagi, dia juga cukup kagum dengan sikap Farid yang tidak pernah mencampur adukkan tugas hakiki dengan hal peribadinya, apatah lagi menjaja kisah rumah tangganya kepada umum.

“Dia tetap fokus sebaik sahaja melangkah ke set penggambaran.

“Dan untuk maklumkan, dia ada di set penggambaran ketika dia terima berita menyedihkan itu.

“Semua orang ada masalah. Tapi Farid seorang pelakon yang tetap profesional walaupun sedang melalui kemelut rumah tangga ketika ini,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Faizul meyakini Farid tidak akan mengulangi sikap sesetengah pelakon lain yang pernah serta merta meninggalkan lokasi penggambaran ekoran masalah peribadi yang mereka hadapi.

“Dia buka buka mulut pun tidak mengenai hal peribadinya. Saya dan keluarganya sangat rapat, bahkan pernah bermain golf bersama. Tapi itulah, kita tak tahu hal dalaman rumah tangga mereka.

“Dan Farid tak ada masalah untuk selesaikan kerjanya. Bahkan dia tidak pernah sekali pun meminta hentikan penggambaran kerana situasi yang menimpanya.

“Pada saya, dia pelakon yang rendah diri dan profesional. Saya pernah hadap pelakon yang menghilang dari set penggambaran disebabkan masalah peribadi mereka. Kita pun faham keadaan itu. Tapi Farid bukan begitu,” ujarnya.

Diana pada Mac tahun lepas memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Subang Bestari alasan tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

Namun Diana memutuskan untuk merujuk semula dengan Farid sekali gus menyelamatkan rumah tangga mereka.

Farid dan Diana mendirikan berkahwin pada tahun 2012. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.

 

Scroll to Top