puterialia@hmetro.com.my
Enggan pisang berbuah dua kali, penyanyi, Ernie Zakri kini tampil lebih berani apabila mengambil alih kawalan sepenuhnya terhadap hala tuju kerjaya seni dan penghasilan karyanya selepas mengikat kontrak selama tiga tahun bersama syarikat rakaman Universal Music Malaysia.
Ernie, 34, berkata, fasa baharu ini membolehkan dia lebih bersuara dalam menentukan setiap perancangan kerjaya seninya.
“Bila mereka komen tentang lagu dan sebagainya, saya terima. Ada yang bertanya mengenai album-album yang pernah saya janjikan sebelum ini. Tuntutan itu perkara biasa kerana saya sendiri yang memberitahu mereka sebelum ini, jadi saya faham.
“Namun, harus difikirkan juga keadaan saya dahulu apabila banyak percaturan dan percampuran yang berlaku, malah kadang-kadang saya sendiri tidak tahu perkara itu dicaturkan sebegitu.
“Apa yang boleh saya janjikan kepada peminat sekarang adalah saya yang mengawal segala-galanya. Itu sahaja janji saya. Sama ada album-album lama itu akan ada atau tidak, nantikanlah. Saya akan susun sebaik mungkin, insya-Allah.
“Bukanlah bermakna sekarang saya sudah ada kuasa besar, tetapi saya mempunyai kuasa yang lebih dalam apa sahaja kerja yang saya lakukan,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, dia mengakui kini lebih berhati-hati dan enggan terlalu awal berkongsi perancangan masa hadapan kepada umum bagi mengelakkan kekecewaan berlaku.
“Saya dah serik untuk beritahu lebih awal kerana kebanyakan perkara yang saya kongsi sebelum ini, akhirnya tidak menjadi. Jadi sekarang, saya mahu mengambil pendekatan perlahan-lahan untuk realisasikan apa yang saya mahu, insyaAllah.
“Segala perancangan ini pastinya berbekalkan sokongan yang sangat padu daripada pihak Universal Music Malaysia,” katanya.
Menurut pelantun lagu Ku Bersuara ini, sejak berusia 17 tahun, dia melalui proses kematangan yang agak panjang dan terpaksa berdepan pelbagai cabaran berbeza yang menuntutnya belajar mengendalikan situasi dalam setiap fasa usianya.
“Saya berdepan dengan banyak isu dan ramai orang yang mungkin merasakan mereka boleh mengawal seseorang artis itu.
“Sedangkan, seseorang artis itu ada visi dan jalan sendiri serta tahu apa yang disukai oleh peminat mereka. Itu yang saya boleh katakan mengenai beberapa isu yang berlaku sebelum ini, namun Alhamdulillah saya tanganinya dengan tenang,” katanya lagi.
Bercerita lanjut, Ernie tidak menolak kekangan yang dialami sebelum ini memberi kesan kepada portfolio seninya, termasuklah kekeliruan yang timbul dalam kalangan peminat.
“Saya rasa selepas album Aura, mungkin peminat boleh tengok ada sedikit kecelaruan tentang lagu-lagu yang saya keluarkan dan sebagainya. Ini kerana ketika itu, perkara tersebut di luar kuasa saya.
“Tetapi, sekarang Alhamdulillah, saya berjumpa dengan pasukan yang sangat hebat. Saya rasa lebih gembira sekarang untuk terus berkarya, insya-Allah.
“Apa yang saya mahukan sekarang adalah karya yang lebih positif. Niat saya sebenarnya hanya nak berkarya, buat lagu dan menjadi seorang artis,” kongsinya lagi.
Enggan menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak, Ernie menganggap segala fasa sukar yang dilaluinya sepanjang tiga tahun kebelakangan ini sebagai satu pengalaman mematangkan, bukannya sebuah langkah yang silap.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa dan tidak juga menyalahkan diri sendiri. Kerana sekiranya saya tidak melalui perkara-perkara dalam tempoh tiga tahun lalu itu, mungkin saya tidak dapat capai apa yang saya ada hari ini.
“Hari ini saya duduk di sini, saya dapat buat sesuatu yang saya percaya. Berbanding sebelum ini apabila saya buat sesuatu, saya akan rasa ragu-ragu dan terfikir sama ada peminat okay atau tidak. Saya lebih rela buat sesuatu yang saya tahu (kualitinya),” kongsinya.
Diminta mengulas lanjut sama ada dirinya terasa seperti dimanipulasi, Ernie secara matang menjelaskan bahawa setiap individu dalam industri seni ini mempunyai tuntutan untuk mencari rezeki masing-masing.
“Saya boleh katakan tiada istilah silap langkah. Semua orang dalam industri mahu mencari rezeki. Jadi, kadang-kadang mereka pun tidak nampak yang cara mereka itu boleh mengambil kesempatan terhadap seseorang.
“Kita pun sebagai artis, kita cuma rasa mahu mencari rezeki untuk keluarga kita. Jadi, semua orang melalui pengalaman masing-masing,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




