mahaizura@mediaprima.com.my
APABILA berbicara mengenai kesihatan tulang, kalsium sering menjadi perkara pertama yang terlintas di fikiran.
Sejak kecil, ramai dididik untuk minum susu dan mengambil makanan tinggi kalsium bagi membina tulang yang kuat.
Namun, menurut Pakar Ortopedik Dr Win Min Thein, walaupun tanggapan itu tidak salah, ia boleh menjadi sedikit mengelirukan jika difahami secara terlalu mudah.
Kata beliau, ramai beranggapan kalsium sahaja sudah mencukupi untuk mencegah atau merawat osteoporosis sedangkan hakikatnya, kesihatan tulang jauh lebih kompleks.
“Pandangan yang terlalu ringkas ini boleh mewujudkan rasa selamat yang palsu sehingga menyebabkan faktor penting lain diabaikan,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Win berkata, tulang bukan struktur statik yang hanya terdiri daripada kalsium sebaliknya ia adalah tisu hidup yang sentiasa berubah.
“Tulang mengandungi sel khas yang bertanggungjawab terhadap proses pembentukan dan penguraian secara berterusan, selain matriks kolagen yang menyokong struktur serta mineral seperti kalsium dan fosfat yang memberi kekuatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, osteoporosis bukan sekadar berpunca daripada kekurangan kalsium.
“Keadaan ini membabitkan kehilangan jisim tulang serta kemerosotan struktur tulang, berbeza dengan osteomalasia yang berpunca daripada kegagalan proses mineralisasi,” katanya.
Menurut Dr Win, kalsium memang memainkan peranan penting dalam proses mineralisasi tulang, tetapi ia tidak berfungsi secara bersendirian untuk membina atau mengekalkan kekuatan tulang.
“Tulang boleh diibaratkan seperti struktur binaan iaitu kalsium bertindak sebagai simen, matriks kolagen sebagai rangka manakala sel tulang sebagai ‘pembina’.
“Tanpa rangka kukuh dan penyelenggaraan aktif, penambahan simen sahaja tidak memberi kesan besar.
“Tidak hairanlah ada individu yang mengambil suplemen kalsium secara konsisten tetapi masih mengalami osteoporosis atau patah tulang,” katanya.
Dr Win berkata, jisim tulang maksimum biasanya dicapai sekitar usia 30-an sebelum proses penguraian tulang mula mengatasi pembentukan.
“Ketumpatan tulang menurun kira-kira 0.5 peratus setiap tahun dan menjadi lebih ketara selepas menopaus,” katanya.
Justeru, beliau menekankan penjagaan kesihatan tulang memerlukan pendekatan menyeluruh bukannya sekadar pengambilan kalsium.
“Senaman seperti berjalan, berjoging dan latihan rintangan penting untuk merangsang pembentukan tulang dan mengekalkan ketumpatannya,” katanya.
Selain itu, Dr Win berkata, faktor hormon juga memainkan peranan penting.
“Estrogen dan testosteron membantu mengekalkan jisim tulang, sebab itu risiko osteoporosis meningkat dalam kalangan wanita selepas menopaus dan lelaki yang semakin berusia,” katanya.
Dalam aspek pemakanan pula, Dr Win berkata, ia perlu dilihat secara menyeluruh.
“Protein penting untuk pembentukan kolagen, vitamin D membantu penyerapan kalsium manakala magnesium dan vitamin K menyokong metabolisme tulang,” katanya.
Beliau menambah, kekurangan nutrien ini boleh menjejaskan kualiti tulang walaupun pengambilan kalsium mencukupi.
Menyentuh mengenai suplemen, beliau berkata, pengambilan kalsium sering dianggap selamat dan diambil tanpa nasihat perubatan yang jelas.
“Ia memang bermanfaat bagi individu yang mempunyai kekurangan atau keperluan klinikal tertentu, tetapi pengambilan secara rutin tidak memberi manfaat tambahan yang besar,” katanya.
Lebih membimbangkan, kata beliau, kebergantungan kepada suplemen boleh mengalih perhatian daripada langkah yang lebih penting seperti aktiviti fizikal dan perubahan gaya hidup.
“Gaya hidup tidak aktif dan tabiat tidak sihat sebenarnya memberi kesan lebih besar kepada kemerosotan tulang berbanding pengambilan kalsium semata-mata,” katanya.
Dr Win berkata, pencegahan osteoporosis perlu bermula awal dengan aktiviti fizikal, pemakanan seimbang serta mengelakkan faktor risiko seperti merokok dan pengambilan alkohol berlebihan.
“Saringan awal bagi individu berisiko juga penting manakala pesakit osteoporosis memerlukan rawatan khusus, bukan hanya bergantung kepada suplemen,” katanya.
Kesimpulannya, Dr Win menegaskan keperluan kalsium, namun ia bukan satu-satunya jawapan dalam menjaga kesihatan tulang.
“Perlindungan tulang memerlukan tumpuan lebih luas termasuk pergerakan, pemakanan dan intervensi awal terutama apabila populasi semakin menua dan kes osteoporosis terus meningkat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




