am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, malam ini tertumpu di Jambatan Pertak dan Empangan Sungai Selangor.
Baca juga: ‘Masalah sebenar negara bukan DAP, tetapi pemimpin Melayu tiada prinsip’ – Anwar
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran, berkata kedua-dua lokasi itu menjadi tumpuan pasukan SAR bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih hilang selepas lima daripada lapan individu yang dihanyutkan arus ditemukan.
“Buat masa ini, kita memberi tumpuan kepada kawasan empangan (Empangan Sungai Selangor) dan bawah jambatan (Jambatan Pertak).
“Dua kawasan itu menjadi tumpuan pencarian bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih belum ditemukan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, sebentar tadi.
Beliau berkata, operasi SAR masih diteruskan, manakala keputusan untuk menghentikannya sementara bergantung kepada keadaan cuaca serta nasihat pihak bomba.
“Buat masa ini, operasi masih berjalan. Kita akan melihat keadaan cuaca kerana apabila semakin lewat malam, operasi mungkin berdepan kesukaran.
“Kita juga akan mendapatkan nasihat daripada pegawai bomba sebelum membuat keputusan,” katanya.
Manimaran berkata, lima mangsa yang ditemukan terdiri daripada seorang lelaki tempatan, seorang warga Nepal, dua warga India dan seorang warga Sri Lanka.
“Tiga lagi yang belum ditemukan ialah dua warga India dan seorang warga Yaman,” katanya.
Beliau berkata semua lima mayat yang ditemukan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Katanya, polis turut menghubungi kedutaan negara asal mangsa warga asing bagi memaklumkan kejadian berkenaan.
Manimaran berkata, kejadian kepala air itu membabitkan empat kawasan, iaitu Sungai Pertak, Lata Jebus, Camp Luit dan Gunung Raja di sepanjang Sungai Luit.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata operasi SAR mula memberi tumpuan kepada Jambatan Pertak dan Empangan Sungai Selangor kira-kira jam 5 petang tadi.
Beliau berkata, pencarian di kedua-dua lokasi itu menggunakan dua lampu limpah yang disediakan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), selain dron bagi membantu mengesan mangsa di permukaan air.
“Empat bot turut ditempatkan dalam keadaan siap siaga sekiranya mangsa dikesan.
“Lampu limpah akan dihidupkan selama 30 minit hingga sejam sebelum dipadamkan selama sejam. Kaedah ini akan dilakukan secara berulang sepanjang operasi pencarian,” katanya.
Dalam kejadian petang semalam, seramai 34 individu daripada empat kumpulan berasingan berada di kawasan berkenaan ketika kepala air berlaku.
Daripada jumlah itu, lapan individu dihanyutkan arus, manakala 26 lagi terselamat, termasuk 19 yang diselamatkan pasukan bomba.
© New Straits Times Press (M) Bhd