LATEST

PH gabungan berasaskan kepercayaan, bukan seperti Pas

PH gabungan berasaskan kepercayaan, bukan seperti Pas

ALOR GAJAH: Pakatan Harapan (PH) merupakan gabungan politik yang teruji dan kekal utuh berasaskan kepercayaan serta saling menghormati antara parti komponennya, kata Ketua Setiausahanya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata nilai kepercayaan dan saling menghormati menjadi asas yang mengikat kerjasama antara parti dalam gabungan itu, sekali gus membezakannya daripada gabungan politik lain.

Baca juga: ‘Masalah sebenar negara bukan DAP, tetapi pemimpin Melayu tiada prinsip’ – Anwar

“Harapan adalah satu gabungan yang bila kita berkawan, kita satu hati sebab apa? Persahabatan kita berasaskan trust and respect (kepercayaan dan saling menghormati). Yang ini yang penting.

“Jadi calon kita mewakili satu blok gabungan namanya Harapan. Bezanya gabungan PH ialah satu gabungan yang teruji dan kunci yang mengikat kita adalah trust and respect. Nilai yang sangat penting dalam satu gabungan politik,” katanya.

Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian ketika berucap pada Pesta Melaka Rumah Kita sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Taman Perdana Melaka di sini malam tadi.

Saifuddin Nasution berkata sepanjang perjalanan politik PH, PKR dan DAP merupakan dua parti yang kekal bersama dalam gabungan berkenaan, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) menyertainya selepas ditubuhkan susulan perpecahan dalam PAS.

Beliau membandingkan sejarah kerjasama politik PAS dengan beberapa parti lain, termasuk UMNO, Bersatu dan PH, yang menurutnya tidak bertahan lama.

“PAS pernah berkawan dengan UMNO 1974. Dia cuma bertahan sampai 1977, tiga tahun sahaja. PAS pernah berkawan dengan kita (PH), kemudian PAS juga bawa diri. PAS pernah berkawan dengan Bersatu, kemudian PAS bawa diri.

“PAS pernah berkawan dengan UMNO (di bawah) Muafakat Nasional, kemudian bergaduh. Sekarang PAS balik semula kepada UMNO. Jadi PAS satu parti yang tak boleh buat kawan. Dia kawan mesti ada masalah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Saifuddin Nasution menyeru pengundi Melaka supaya mempertimbangkan kelebihan memilih calon PH, memandangkan gabungan itu kini menerajui Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan calon yang dipilih dapat memberikan khidmat kepada rakyat dengan sokongan Kerajaan Persekutuan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Melaka ke-16 pada Sabtu ini. – BERNAMA

The post PH gabungan berasaskan kepercayaan, bukan seperti Pas appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news