Federer mara pusingan kedua tenis ATP Halle

HALLE WESTFALEN: Roger Federer mara ke pusingan kedua kejohanan gelanggang rumput ATP di Halle dengan kemenangan straight set ke atas Ilya Ivashka, awal pagi tadi.

Federer yang bakal menyambut ulang tahun ke-40 Ogos ini, mengalami beberapa masalah pada perlawanan pertamanya di gelanggang rumput musim ini, sebelum menewaskan pemain Belarus, Ivashka di pusingan pertama dengan keputusan 7-6 (7/4), 7-5.

Pilihan kelima kejohanan di Halle, Federer, dijadual bertemu pemain Kanada, Felix Auger-Aliassisme ataupun Hubert Hurkacz dari Poland pada aksi pusingan kedua.

“Ada ruang yang boleh diperbaiki, tetapi saya gembira dengan perlawanan pertama di gelanggang rumput ini. Saya berasa baik,” kata Federer yang pada ketika ini berada di ranking kelapan dunia dan sedang dalam pemburuan gelaran ke-11 di kejohanan di sini.

Federer yang menjalani dua pembedahan di bahagian lutut kanan pada 2020 dan mempunyai 20 gelaran Grand Slam, menarik diri ketika pusingan keempat Terbuka Perancis minggu lalu bagi membolehkan dirinya mendapat rehat secukupnya.

Pemain Switzerland itu menjadikan Halle sebagai medan persiapan untuk dirinya memburu gelaran kesembilan di Wimbledon yang dijadual membuka tirai pada 28 Jun ini.

Terdahulu, pemain Perancis, Corentin Moutet memenangi perlawanan pertamanya selepas pilihan ketujuh dari Belgium, David Goffin menarik diri kerana mengalami kecederaan pada awal set ketiga dengan keputusan ketika itu, 1-6, 7-5. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd