JAKARTA: Feri Virgo Transport 8 terbalik di perairan Laut Jawa senget dalam cuaca buruk sebelum terbalik pada awal pagi Ahad ketika dalam pelayaran dari Surabaya menuju Banjarmasin, Kalimantan.
Timbalan Ketua Operasi dan Kesiapsiagaan, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Edy Prakoso berkata, seorang kapten feri Virgo memberitahunya feri tersebut terbalik akibat hentaman ombak dari bahagian kanan kapal.
Edy berkata, hentaman ombak itu menyebabkan feri berkenaan senget sekitar 2 hingga 3 darjah.
Katanya, feri itu kemudian semakin senget dalam tempoh singkat selepas dihentam ombak sekali lagi.
“Namun, ada ombak sekali lagi yang menyebabkan feri ini semakin senget dan prosesnya berlaku dengan begitu pantas. Dalam tempoh kira-kira 10 hingga 15 minit, feri itu terus senget,” katanya.
Sementara itu, seorang penumpang feri yang membawa 243 orang itu menceritakan detik-detik sebelum dan selepas kapal berkenaan terbalik.
Seorang penumpang dikenali sebagai Agus berada di ruang tidur ketika rakan memberitahunya bahawa feri itu mula senget.
Kejadian itu berlaku sekitar pukul 1 pagi waktu tempatan ketika kebanyakan penumpang sedang tidur lena.
Beliau mendakwa tidak mendengar sebarang pengumuman daripada pihak feri yang memaklumkan bahawa ia berada dalam keadaan kecemasan.
Sementara itu,pPasukan penyelamat Indonesia pada Isnin meneruskan operasi mencari lebih 100 orang yang masih hilang dalam kejadian itu.
Beberapa pesawat, kapal tentera laut dan penyelam dikerahkan bagi mencari mangsa yang terselamat.
Feri Virgo Transport 8, yang menurut pihak berkuasa membawa 213 penumpang dan 30 anak kapal, terputus hubungan dengan syarikat perkapalannya pada awal Ahad selepas bertolak dari Surabaya, bandar kedua terbesar Indonesia, di Jawa Timur.
Setakat ini, enam orang disahkan maut manakala 129 lagi masih hilang. – AGENSI
