Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur kembali lagi

Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur kembali lagi

KUALA LUMPUR – Seramai 1,368 peserta terdiri daripada badan beruniform dan sektor korporat terlibat dalam Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2022 ([email protected] 2022) yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Dataran Merdeka.

Festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerusi JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertujuan mengangkat permainan Malaysia sebagai teras bagi program ini dan disokong oleh lain-lain pengisian untuk penglibatan masyarakat.

Program yang telah memasuki tujuh tahun penganjurannya berkonsepkan festival yang merangkumi pelbagai aktiviti dan pengisian seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, pameran, demonstrasi, persembahan serta jualan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya berkata, festival ini diharap akan terus menjadi acara tahunan negara dalam mengangkat dan memulihara keunikan kesenian serta kepelbagaian warisan tradisi rakyat Malaysia.

“Selain itu juga, penganjuran festival ini diharap dapat menyediakan peluang penjanaan pendapatan kepada usahawan seni budaya dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat serta membantu NGO seni budaya melalui acara sebegini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian.

Antara pengisian festival adalah permainan congkak.

Sementara itu, pengisian utama [email protected] 2022 adalah pertandingan permainan tradisional di antara badan beruniform dan juga sektor korporat yang dikelolakan oleh Kelab Sukan Tradisional Harmoni.

Selain pertandingan permainan tradisional antara badan beruniform dan sektor korporat, orang ramai berpeluang menyertai Permainan Lagenda Rakyat seperti kelereng, kaki hantu, lari dalam guni berkembar, tarik upih / guni dan terompah gergasi.

Pengisian-pengisian lain juga yang pastinya menarik adalah aktiviti pocket bike, pasar basikal, bazar selebriti, bazar jualan produk seni budaya dan banyak lagi.

Turut diadakan adalah Pertandingan Gasing Pangkah yang juga dikenali sebagai MyGasing Championship, Kejohanan Tarik Tali Terbuka Malaysia dan Pertandingan Pocket Bike yang akan melibatkan pelumba cilik terdiri daripada kanak-kanak.

Selain melibatkan penyertaan daripada negeri-negeri di Malaysia, dua pasukan antarabangsa iaitu Singapura dan Brunei juga dijangka akan turut serta dalam Pertandingan Gasing Pangkah pada tahun ini.

Bagi memeriahkan lagi penganjuran FPM @ KL 2022, dua acara larian  diadakan iaitu Larian Keluarga Malaysia dan KL Cultural Fun Run & Ride. – MalaysiaGazette