FIFA didesak mansuhkan anugerah keamanan dianugerahkan kepada Trump

FIFA didesak mansuhkan anugerah keamanan dianugerahkan kepada Trump
FIFA didesak mansuhkan anugerah keamanan dianugerahkan kepada Trump

Trump ketika menerima Anugerah Keamanan FIFA pada Disember lalu.

PERSATUAN Bolasepak Norway (NFF) secara rasmi mendesak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk memansuhkan Anugerah Keamanan FIFA dengan alasan badan induk itu sepatutnya mengelak daripada penglibatan politik.

NFF berpendapat bahawa penganugerahan sedemikian harus diserahkan kepada institusi bertauliah yang mempunyai kepakaran khusus seperti Institut Nobel.

Desakan itu timbul susulan tindakan FIFA memberikan anugerah keamanan sulungnya kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Disember lalu ketika majlis undian Piala Dunia 2026.

Presiden NFF, Lise Klaveness menegaskan bahawa pemberian anugerah itu tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab FIFA.

“Kami (NFF) mahu melihat ia (Anugerah Keamanan FIFA) dimansuhkan. Kami berpendapat bukan mandat FIFA untuk memberi anugerah sedemikian. Kita sudah mempunyai Institut Nobel yang menjalankan tugas itu secara bebas,” katanya.

Klaveness yang juga seorang peguam menyuarakan kebimbangan mengenai risiko politik yang bakal dihadapi oleh badan bola sepak dunia itu sekiranya amalan tersebut diteruskan.

Menurutnya, amat penting bagi persekutuan bola sepak dan FIFA untuk mengekalkan jarak profesional dengan pemimpin negara bagi mengelakkan situasi yang boleh menggugat integriti sukan.

“Anugerah seperti ini biasanya akan menjadi sangat politik jika anda tidak mempunyai instrumen dan pengalaman yang kukuh untuk menjadikannya bebas, termasuk dari segi juri dan kriteria.

“Tugas ini memerlukan tumpuan sepenuh masa kerana ia sangat sensitif. Dari sudut sumber, mandat dan paling utama adalah tadbir urus, saya rasa ia harus dielakkan pada masa hadapan,” ujarnya.

NFF turut mengesahkan bahawa lembaga pengarahnya akan menghantar surat rasmi bagi menyokong gesaan supaya satu siasatan dijalankan berhubung penganugerahan tersebut.

Langkah itu diambil susulan dakwaan oleh organisasi bukan kerajaan (NGO), FairSquare, yang mendakwa Presiden FIFA, Gianni Infantino berkemungkinan telah melanggar garis panduan etika organisasi berhubung isu berkecuali dalam politik.

“Perlu ada sistem semak dan imbang dalam isu ini. Aduan daripada FairSquare harus dikendalikan dengan garis masa yang telus, selain alasan dan kesimpulannya juga perlu didedahkan secara terbuka,” tegas Klaveness.

Scroll to Top