Finas, Perkeso, Profima gesa lanjutkan tayangan video PSA di platform utama

Finas, Perkeso, Profima gesa lanjutkan tayangan video PSA di platform utama

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Video pesanan khidmat masyarakat (PSA) yang dihasilkan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah antara usaha yang dibuat bagi memastikan kebajikan penggiat seni tanah air sentiasa terjaga.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, video PSA itu adalah sebahagian daripada perancangan bersama selepas Finas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perkeso pada April lalu.

“PSA ini memang antara perkara yang dibincangkan sebaik sahaja Finas menandatangani MoU bersama Perkeso.

“Selepas MoU dibuat, banyak perkara yang kita sudah nampak hasilnya sehingga kini.

“Buat masa ini juga pelbagai program lagi dirancang. Pada masa sama, pihak kami juga sudah berjumpa dengan semua penggiat seni yang memerlukan bantuan,” katanya pada majlis pelancaran PSA, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso dengan kerjasama Finas dan Profima di GSC Lalaport di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Presiden Profima, Khalil Salleh.

Video PSA SKSPS berdurasi 30 saat itu diarahkan oleh Wan Saiful Shahrizan Wan Nawi dengan dibantu barisan pelakon seperti Dewa Sapri, Joey Daud dan Amin Idris.

Mengenai video PSA, Azmir berkata, pihaknya sedia berbincang dengan pihak pawagam, Kementerian Komunikasi termasuk beberapa agensi lain untuk melanjutkan tempoh tayangan di pawagam.

“Insya-Allah, pihak kami akan cuba perbanyakkan lokasi atau pawagam untuk tayangan video PSA ini.

“Saya juga akan berbincang dengan persatuan pawagam, Lembaga Penapis Filem (LPF) dan Skim Wajib Tayang,” katanya.

Pada masa sama, kata Azmir lagi, pihaknya akan berusaha melanjutkan tempoh tayangan selama lebih tiga bulan sebab perkara itu juga penting.

“PSA ini mesej untuk semua rakyat Malaysia yang bekerja sendiri, bukan penggiat seni sahaja.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagaimana kita boleh panjangkan untuk siaran di televisyen selepas menonton PSA ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohammed Azman berkata, video (PSA) dilancarkan bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial.

“Video PSA ini memfokuskan kepentingan pekerja sendiri untuk membuat caruman menerusi SKSPS yang bertujuan mengurangkan beban sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top