sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Ketua jurulatih Pahang Rangers, Luis Fonseca memuji persembahan barisan pemainnya yang memberi persembahan terbaik pada pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), semalam.
Pada perlawanan ketiga Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 musim 2025 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, Johor, itu tuan rumah menang tipis 4-3 ke atas pelawat.
Bagi Fonseca, Pahang Rangers hampir pulang dengan kemenangan namun nasib tidak menyebelahi mereka terutama selepas barisan pemain memberi persembahan terbaik hingga mampu menghasilkan tiga gol.
Katanya, pasukan lawan dilihat terdesak apabila menerima tentangan sengit sepanjang perlawanan, cuma JDT lebih bernasib baik apabila empat peluang diterima berjaya menghasilkan jaringan seterusnya mencatat kemenangan.
“Saya memuji semangat dan kesungguhan barisan pemain Pahang Rangers yang beraksi dengan penuh keyakinan tanpa tekanan berhadapan pasukan lawan selaku pendahulu liga dan juara bertahan.
“Saya percaya sekiranya nasib kita lebih baik semalam kemenangan pasti berpihak pada Pahang Rangers yang kini kekal di tangga kedua liga,” katanya, di sini hari ini.
Jaringan Pahang Rangers disumbang oleh pemain import Felipe De Souza dan dua gol menerusi pemain kebangsaan, Harith Naim Mohd Nasir.
Pada perlawanan berkenaan pemain import Pahang Rangers, Matheus Moura dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.
Pahang Rangers kekal tempat kedua liga dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan keatas KL City 4-2 diikuti kemenangan 6-2 keatas Malaysian University.
Aksi MPFL akan berehat seketika bagi memberi laluan cuti Hari Raya Aidilfitri sebelum bersambung pada 19 April depan dengan Pahang Rangers menentang Sabah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
