am@hmetro.com.my
Temerloh: Seorang foreman tayar maut selepas dirempuh sebuah lori ketika melakukan pemeriksaan tayar sebuah treler yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 119.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.10 tengah hari.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah treler dan sebuah lori barangan .
“Mangsa lelaki berusia 48 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk proses bedah siasat yang dijadualkan esok pada jam 9 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasyim berkata, siasatan awal mendapati treler berkenaan berhenti di bahu jalan kerana tayar belakang sebelah kiri pancit.
“Mangsa membuat pemeriksaan di bahagian tengah sebelah kanan treler bagi tujuan pertukaran tayar.
“Ketika itu, lori yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dari Puchong, Selangor yang bergerak lurus dipercayai bergesel dengan treler terbabit sebelum melanggar mangsa yang sedang duduk di atas jalan. Akibat pelanggaran itu, lori berkenaan terbabas ke kiri jalan,” katanya.
Beliau berkata, pemandu treler berusia 35 tahun dari Taman Balok Makmur, Kuantan dan pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
Katanya, pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati keputusan negatif.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kedua-dua kenderaan turut ditahan bagi menjalani pemeriksaan Puspakom,” katanya.
Mohd Nasyim berkata, semakan mendapati pemandu lori berkenaan mempunyai 19 saman atas pelbagai kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




