London: Penyerang Liverpool Mohamed Salah terus mencetuskan spekulasi masa depannya apabila berkongsi di media sosial foto yang menimbulkan tandatanya selepas tamat menentang Manchester United yang berakhir 2-2.
Foto terbabit menunjukkan Salah berdiri di sisi Trent Alexander-Arnold dan Virgil van Dijk sebelum mengambil sepakan percuma.
Kesemua mereka tamat kontrak di Anfield pada penghujung musim dan penyokong Liverpool menggantung sepanduk tertera “[Pemilik Liverpool] FSG berikan Mo & Co wang” sebelum aksi menentang United.
Salah kerap menegaskan kekecewaannya dengan kemajuan dalam rundingan kontrak dan minggu lalu menegaskan dia bersiap sedia untuk tugasan terakhirnya musim ini bersama kelab.
Bintang Mesir berusia 32 tahun itu menikmati musim cemerlang setakat ini dengan meledak 18 gol dan mencipta 13 bantuan jaringan bagi mengukuhkan cengkaman Liverpool selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris.
Rundingan kontrak baharu dengan kem Salah bermula beberapa bulan lalu tetapi masih gagal mencapai keputusan muktamad.
Sementara itu, Alexander-Arnold dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid yang menjadikan dia sasaran utama susulan kecederaan pertahanan kanan Dani Carvajal.
Kapten kelab Van Dijk, 33, masih lagi membisu mengenai masa depannya tetapi kerap menegaskan rasa sayang dengan Liverpool dan dijangka meneruskan komitmen dengan skuad Arne Slot.
© New Straits Times Press (M) Bhd




