ISTANBUL – Freedom Flotilla Coalition (FFC) mengumumkan misi maritim antarabangsa baharu ke Semenanjung Gaza, dengan kapal-kapalnya akan singgah di beberapa pelabuhan Eropah sebelum meneruskan pelayaran dalam usaha untuk sampai ke wilayah itu pada Oktober, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kami belayar sekali lagi kerana Israel masih belum menghentikan genosidnya dan Palestin masih belum bebas,” menurut gabungan itu dalam rayuan bagi mendapatkan sokongan antarabangsa.
Gabungan itu dalam kenyataan yang diterbitkan pada Rabu memaklumkan misi berkenaan bertujuan mencabar sekatan Israel ke atas Gaza dan meningkatkan tekanan awam di seluruh Eropah.
Pelayaran itu sudah pun bermula, dengan kapal Handala II milik gabungan berkenaan telah singgah di beberapa pelabuhan di Norway, Sweden dan Denmark sepanjang Jun dan Julai.
Sebuah lagi kapal, Kate, berlepas dari bandar Bristol di Britain pada Ogos sebelum singgah di Ireland, Jerman dan Perancis, menurut kenyataan itu.
Kapal-kapal berkenaan dijangka singgah di beberapa pelabuhan di Sepanyol, Portugal dan Itali sebelum meneruskan pelayaran menuju Gaza, dengan gabungan itu merancang untuk tiba di wilayah berkenaan pada Oktober.
Menurut gabungan itu, misi berkenaan menghimpunkan pembela hak asasi manusia, aktivis kesatuan sekerja, wakil rakyat, wartawan, profesional perubatan serta penyokong hak rakyat Palestin yang lain.
Gabungan itu memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk mendesak kerajaan supaya menyekat penghantaran senjata dan tenaga ke Israel, menamatkan kerjasama diplomatik dan ketenteraan dengan pihak berkuasa itu serta mengenakan sekatan.
“FFC belayar lagi kerana kerajaan kita terus gagal menunaikan kewajipan mereka,” kata ahli jawatankuasa pemandu gabungan itu Zohar Chamberlain Regev.
“Di setiap pelabuhan, kami akan membawa tuntutan supaya rakyat Palestin bebas untuk hidup dengan bermaruah.
“Pada Oktober, kami berhasrat membawa tuntutan itu serta solidariti masyarakat di seluruh dunia ke pesisir Gaza,” katanya.
Gabungan itu menggesa kerajaan menuntut laluan yang selamat dan tanpa halangan bagi flotila berkenaan serta menegaskan bahawa sebarang serangan, penyitaan atau penahanan pesertanya akan membawa akibat.
Ia turut menggesa akses segera dan tanpa sekatan ke Gaza serta penamatan sekatan Israel terhadap kemasukan makanan, air, ubat-ubatan dan bekalan keperluan asas lain.
Gabungan itu memaklumkan kerajaan perlu mempertahankan kebebasan pelayaran serta menggunakan langkah diplomatik, ekonomi dan perundangan untuk menamatkan sekatan berkenaan.
“Kami tahu bahawa pelayaran menuju Gaza membawa risiko yang serius.
“Namun, sikap berdiam diri dan tidak bertindak membawa kesan yang jauh lebih besar terhadap rakyat Palestin dan dunia,” kata Edward Digilio, seorang jurutera dari negeri Maryland, Amerika Syarikat (AS), yang menyertai inisiatif itu.
Beliau menyifatkan misi itu sebagai usaha yang “memperlihatkan nilai kemanusiaan bersama dan penolakan untuk menerima kemusnahan seluruh bangsa sebagai sesuatu yang normal.”
Gabungan itu memaklumkan tentera Israel menyerang dan menahan ratusan peserta flotila dalam misi terdahulu pada musim bunga 2026.
Menurut gabungan itu, sukarelawan melaporkan mereka dipukul dengan teruk sehingga mengalami patah tulang dan luka tembakan, selain berulang kali dikenakan kejutan elektrik menggunakan senjata renjat serta mengalami serangan seksual ketika dalam tahanan Israel.
Gabungan itu turut mengimbas serangan Israel terhadap kapal Mavi Marmara yang menuju Gaza pada Mei 2010, yang mengorbankan 10 aktivis. – Bernama-Anadolu