Fyna Jebat dakwa 'disimpan' 4 tahun, pilih mahkamah jalan penyelesaian

Fyna Jebat dakwa 'disimpan' 4 tahun, pilih mahkamah jalan penyelesaian

Kuala Lumpur : Penyanyi, Fyna Jebat meluahkan perasaan kecewa selepas mengakui dirinya ‘disimpan’ selama empat tahun oleh seorang individu yang enggan didedahkan identitinya.

Fyna, 33, atau pemilik nama Nur Syafinaz Jebat menerusi hantaran di Insta Story, berkongsi mengenai pengalaman perit yang meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada dirinya malah anaknya yang kini hampir mencecah usia dua tahun.

“Aku rasa lama dah aku diam. Kawan aku telefon nak bagi duit raya, mula kau meroyan sampai campak telefon aku ke?

“Terpaling tersakiti kau ya. Kemain asal gaduh cakap nak berlawan. Habis itu kau nak aku buka buku kau ke macam mana?

“Kau salah orang nak gaduh. Empat tahun simpan aku, kau fikir balik apa kau buat pada aku dan anak aku sampai nak masuk dua tahun dah dia,” tulisnya.

Adik kepada penyanyi Ayda Jebat itu memilih untuk menyelesaikan isu berbangkit melalui saluran mahkamah sekali gus menitipkan pesanan kepada individu terbabit agar tidak terlalu mendongak ke langit.

“Macam kau tiada kawan perempuan, macam kau terpaling suci. Kalau kau rasa terpaling suci, pergi jujur pada isteri kau. Sampai bila pula hidup aku nak jadi simpanan.

“Sampai anak aku 20 tahun ke nak simpan? Kali ini tiada muka dah untuk kau ya.

“Sila hadirkan diri di mahkamah bulan empat ya. Jangan rasa terpaling suci sampai terlupa adil,” coretnya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top