Naskhah epik Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka yang dipentaskan pada 13 Jun sehingga 15 Jun ini kembali mengangkat semangat perjuangan wanita Melayu di pentas berprestij Panggung Bangsawan Melaka.
Pementasan yang bukan sekadar persembahan seni malah menjadi simbol usaha berterusan dalam memartabatkan sejarah negara ini sekaligus memperkukuh warisan budaya serta menyemai semangat jati diri menerusi teater.
Menurut Pengarahnya, Lokman Ghani, pementasan teater Tun Fatimah bukan sekadar persembahan hiburan tetapi medium pendidikan dan penghayatan sejarah melalui seni budaya yang dekat dengan masyarakat.
“Tun Fatimah bukan sekadar tokoh legenda tetapi ikon wanita Melayu yang berani dan cekal.
“Kami gabungkan elemen bangsawan, silat teaterikal dan pendekatan moden agar kisah ini mampu difahami dan dihayati generasi masa kini,” katanya.

Tampil barisan pelakon hebat tanah air
Selain itu, teater ini mengangkat kisah benar dari sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang memfokuskan kepada figura Tun Fatimah seorang srikandi agung yang mengharungi zaman penuh cabaran termasuk pengkhianatan, kehilangan keluarga serta dilema antara cinta dan tanggungjawab.
Teater arahan Lokman Ghani ini merupakan terbitan Boolan Trending dengan kerjasama Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM), menampilkan barisan pelakon tersohor tanah air seperti, Neera Azizi memegang watak utama sebagai Tun Fatimah, manakala Ashraf Muslim membawakan peranan Sultan Mahmud Shah.

Manakala, Aziz M. Osman dan Radhi Khalid tampil memegang watak sebagai penasihat istana, golongan bangsawan serta antagonis penting dalam naratif epik Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka.
Penonton juga akan disajikan dengan persembahan silat tempur oleh juara dunia, Al Jufferi Jamari yang membuat penampilan istimewa dalam pementasan berkenaan.

Teater ini turut mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka (JKKN Melaka) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).




