Gaji PM Singapura naik

SINGAPURA – Gaji tahunan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong bakal melonjak 64 peratus kepada S$3.6 juta (RM11.5 juta) daripada S$2.2 juta (RM 7 juta) susulan kenaikan gaji besar-besaran untuk pemimpin politik negara itu bermula 15 Oktober.

Singapura sememangnya terkenal menawarkan antara gaji tertinggi di dunia kepada pemimpin politik dengan alasan ia diperlukan untuk menarik bakat terbaik dan mencegah rasuah.

Bagaimanapun, isu itu kekal sensitif memandangkan pekerja dengan gaji median di Singapura memperoleh S$5,775 (RM18,585) sebulan pada 2025.

Wong sendiri mengakui gaji politik merupakan isu sukar dan boleh membangkitkan emosi kerana jumlah diterima pemimpin jauh mengatasi pendapatan kebanyakan rakyat.

Beliau bagaimanapun mempertahankan semakan tersebut dengan menegaskan perkara itu turut berkaitan kemampuan Singapura mengekalkan pemimpin politik berkualiti untuk menerajui negara pada masa depan.

Wong turut berjanji menyumbangkan kenaikan gajinya kepada badan kebajikan untuk tempoh lima tahun.

Menurut data PoliticalSalaries.com yang dipetik Reuters, Perdana Menteri Singapura merupakan pemimpin negara dengan gaji tertinggi di dunia.

Sebagai perbandingan, Presiden Amerika Syarikat menerima AS$400,000 (RM1.62 juta) setahun, manakala Perdana Menteri Britain memperoleh kira-kira AS$230,000 (RM935,893).

Singapura kali terakhir menyelaraskan gaji menteri pada 2012 apabila gaji mereka dipotong sebanyak 36 peratus susulan rasa tidak puas hati orang ramai. – Agensi

 

Scroll to Top