Gangguan seksual: Ebit Lew tiba di pekarangan mahkamah

Gangguan seksual: Ebit Lew tiba di pekarangan mahkamah

TENOM: Pendakwah terkenal, Ebit Lew tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, kira-kira pukul 9 pagi untuk menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual dihadapinya bermula hari ini sehingga 30 September.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim,37, kelihatan berpakaian serba hitam dan berkopiah putih dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser berwarna hitam.

Ketibaan Ebit bersama sekumpulan individu yang hadir bagi memberi sokongan.

Petugas media turut kelihatan berada di pekarangan mahkamah seawal 8 pagi.

Pekarangan mahkamah turut dikawal oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 41 tahun melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah ini antara Mac hingga Jun 2021.

Justeru, beliau didakwa dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan

Dakwaan terhadap Ebit itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021. –UTUSAN