YPM teruskan bantuan persekolahan kepada pelajar B40

YPM teruskan bantuan persekolahan kepada pelajar B40

JOHOR BAHRU – Seramai 1,568 orang murid sekolah rendah dan menengah di negeri Johor menerima manfaat sumbangan pendidikan bernilai RM177,962 sejak Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memulakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Pengerusi YPM Datuk Mohd Razman Yaacob berkata, terbaharu YPM meneruskan inisiaitf membantu pelajar-pelajar daripada kalangan B40, dengan menyumbangkan bantuan persekolahan bernilai RM28,100 melalui siri kelapan Program CSR pendidikan.

Seramai 216 pelajar sekitar daerah Batu Pahat, Segamat dan Ulu Tiram menerima bantuan persekolahan YPM sepanjang dua hari program berlangsung di negeri itu.

Pada majlis perasmian CSR Pendidikan YPM Negeri Johor di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sempurna, Batu Pahat, beliau berkata, beberapa bentuk bantuan disampaikan termasuk wang tunai kepada 50 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sempurna, 57 pelajar SK Labis, empat pelajar miskin di kawasan Ulu Tiram, lima pelajar kurang berkemampuan, bantuan banjir kepada 100 pelajar sekitar kawasan Sri Gading serta sumbangan dua unit Smart TV kepada SK Labis.

Bantuan yang sebahagiannya merupakan sumbangan daripada syarikat korporat, agensi luar dan individu ini diharapkan dapat mengurangkan tangunggan keluarga.

Beliau turut mengalu-alukan syarikat-syarikat korporat, agensi luar dan individu untuk menyumbang dalam program CSR Pendidikan YPM.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi edonation.ypm.org.my atau aplikasi Touch ’n Go eWallet. – MalaysiaGazette