Kekecewaan Itali gagal ke Piala Dunia terubat

Pemain Itali meraikan kejayaan menewaskan Hungary 2-0 dalam saingan Liga Negara-Negara. – Foto Agensi

KEKECEWAAN Itali gagal kali kedua berturut-turut ke Piala Dunia terubat apabila mara ke pusingan akhir Liga Negara-Negara pada tahun depan.

Skuad bimbingan Roberto Mancini itu menduduki tangga teratas Kumpulan A3 selepas membenam Hungary 2-0 di Budapest pada Selasa.

Pemain sensasi, Giacomo Raspadori yang menjaringkan gol kemenangan ketika menentang England Sabtu lalu meletakkan Itali di depan pada minit ke-27.

“Kami perlukan kemenangan ini untuk memulihkan semula semangat walaupun masih terasa pedih kegagalan ke Piala Dunia, namun kami tak boleh terus bersedih.

“Kami perlu bermula semula dan melakukan semuanya untuk Itali,” ujar penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma.

Hungary yang sebelum perlawanan memimpin Kumpulan A3 berusaha mencari gol penyamaan tetapi Donnarumma tangkas di gawang menafikan dua percubaan pantas daripada Loic Nego dan Adam Szalai pada minit ke-50.

Dua minit kemudian, Federico Dimarco menambah jaringan kedua pelawat selepas mendapat hantaran Bryan Cristante untuk jaringan antarabangsa pertamanya sekali gus gol ke-1,500 Itali.

Itali cekal bertahan selepas itu dan mengiringi Belanda serta Croatia mara ke pusingan akhir pada Jun 2023.

Mancini gembira dengan kemenangan itu kerana ia penting untuk mara ke pusingan akhir Liga Negara-Negara.

“Kami cemerlang pada 70 minit pertama tetapi 20 minit terakhir agak hambar,” katanya.

Hungary pula terus gagal meraih kemenangan ke atas Itali sejak 1955 dan ia aksi antarabangsa terakhir buat kapten Adam Szalai, 34, yang mendapat tepukan bergemuruh ketika dikeluarkan pada minit ke-75.