Pelajar orang asli PETAMA terima peruntukan RM72,000

Pelajar orang asli PETAMA terima peruntukan RM72,000

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan sebanyak RM72,000 bagi membantu 30 pelajar orang asli yang menuntut di Pusat Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) di negeri ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, inisiatif RM2,400 diperuntukkan kepada setiap penuntut di situ sebagai sokongan dan usaha menghayati Islam sepanjang dua tahun di pusat itu.

Asmadi Abdul Rahman

“Peruntukan itu diberikan pada anak masyarakat orang Asli bagi mendapatakan pendidikan agama Islam di bawah PETAMA yang mengikuti kelas selama dua tahun,” katanya.

Untuk rekod, PETAMA diwujudkan oleh Yayasan Pahang pada 3 Mei 1998 bertujuan untuk melahirkan golongan pemimpin dalam kalangan orang asli yang berkaliber dan berilmu dalam usaha mentamadunkan masyarakat orang asli agar berada sama taraf dengan kaum lain di negara ini.

Difahamkan lepasan PETAMA berkelayakan menjadi Daie’ dalam kalangan masyarakat orang asli mendapat sokongan penuh daripada MUIP, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Pahang (JAKOA).

MUIP turut memberikan enam buah komputer riba kepada enam Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA).

“Manakala enam komputer riba kepada pengurus zon kumpulan PePIMA bagi memudahkan mereka membuat rekod aktiviti yang dilaksanakan selain membuat kertas kerja,” tambahnya.

Seramai 30 pelajar Pusat Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) menerima sumbangan bernilai RM 2,400 setiap orang daripada pihak MUIP

Sementara itu Dr. Asmadi berkata, MUIP turut membelanjakan RM1.5 juta kepada 7,200 warga Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA) sebagai elaun  melaksanakan aktiviti dakwah kepada masyarakat orang asli pada tahun ini.

Basri Loheng, telah berkhidmat 21 tahun sebagai PePIMA Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA) di bahagian Rompin menerima sebuah komputer riba bagi tujuan pengurusan dan aktiviti dakwah masyarakat orang Asli di kawasanya

Beliau berkata,  perkembangan Islam di negeri ini semakin meningkat baik dalam tempoh 10 tahun ini dari sudut penghayatan dan amalan kepada saudara baru terutama bagi daerah Cameron Highlands, Maran Kuala Lipis, Rompin.

“Sehingga kini sebanyak 13 surau termasuk masjid sudah diberikan kebenaran untuk Solat Jumaat.

“Malah, imam dan bilal juga dalam kalangan masyarakat orang asli sendiri, termasuk aktiviti khutbah juga dibacakan dalam bahasa orang asli,” katanya. – MalaysiaGazette