Gegaran padu artis indie

Gegaran padu artis indie

norhayati_nordin@hmetro.com.my

PEMINAT muzik indie pastinya menantikan penganjuran Festival Atas Angin 2026: One Last Shine di Rooftop MyTown Kuala Lumpur pada 14 Februari ini.

Menariknya penganjuran festival kali kelima ini bakal menampilkan lebih 30 pemuzik bebas dikenali ramai dan juga baharu akan terbabit dalam acara hiburan berprestij ini yang bermula dari siang hingga ke tengah malam.

Alunan muzik tanpa henti selama 16 jam diharap dapat memberi hiburan untuk disaksikan peminat indie yang membeli tiket sebagai sokongan kepada band kegemaran masing-masing.

Pengarah Festival Atas Angin dikenali, Arif Imran Abu Bakar, berkata pihaknya menyeru peminat band indie membeli tiket disediakan.

“Harga tiket sangat berpatutan dan saya harap peminat tidak melepaskan peluang kerana Festival Atas Angin 2026: One Last Shine ini adalah penganjuran yang terakhir.

“Pada tahun depan kita tidak akan anjurkan lagi kerana berhadapan masalah kekangan kewangan. Ini kerana, penganjuran selama beberapa tahun festival ini masih tidak balik modal.

“Walaupun selaku penganjur, saya berusaha adakan festival Atas Angin pada setiap tahun sejak 2021 lalu untuk tujuan ketengahkan artis-artis ‘independent’ tempatan yang selama ini kurang dapat perhatian “mainstream’ (arus perdana).

“Sambutan diterima daripada peminat (muzik indie) sangatlah baik, namun sayangnya dari soal pulangan kewangan masih kurang bagus untuk kita (penganjur) terus ‘survive’ (bertahan),” katanya.

Menurut Arif Imran, festival kali ini mempunyai kelainan tersendiri apabila menggabungkan band indie yang sudah berjaya masuk pasaran arus perdana dan kelompok pasaran bebas.

“Tidak dinafikan Atas Angin sudah dikenali penggemar muzik indie tanah air, tetapi jujur saya katakan kalau ingin buat festival sebegini memerlukan kewangan yang banyak serta mendapat penajaan.

“Apapun selama ini saya sanggup cuba anjurkan festival ini setiap tahun dengan kewangan yang ada disebabkan minat serta saya juga ada beberapa perniagaan lain diusahakan untuk menyokong.

“Tetapi, sekarang saya fikir sudah tidak boleh lagi. Jadi, saya buat keputusan terpaksa merehatkan seketika penganjuran festival ini mulai tahun depan untuk fokus pada menstruktur semula ke arah lebih baik,” katanya.

Ditanya juga tidakkah dia mencuba dapatkan bantuan kewangan seperti geran disediakan agensi kerajaan terbabit, Arif Imran memaklumkan sudah beberapa kali permohonan dibuatnya, tetapi hampa.

“Saya mohon peminat semua datang memberi sokong Festival Atas Angin 2026: One Last Shine yang terakhir ini. Harapan saya agar jualan tiket disediakan habis dibeli pada saat akhir sebelum persembahan.

“Kira-kira 4,000 tiket disasarkan dapat dijual dan setakat ini syukur bahawa sebanyak 2,000 tiket sudah pun dibeli. Jadi, usah lepas peluang untuk dapatkan baki tiket yang masih ada.

“Saya bagaimanapun yakin jualan tiket akan meningkat pada hari terakhir sebelum persembahan berlangsung untuk peminat membeli,” katanya.

Barisan artis akan terbabit dalam acara ini antaranya Hujan, 6ixth Sense, Fynn Jamal, Gray Sky Morning, Bittersweet, Iqbal M, Salammusik, Monologue, Gerhana Skachinta dan banyak lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top