SEOUL – Sekurang-kurangnya 19 orang maut akibat cuaca panas melampau yang melanda Korea Selatan sejak awal tahun ini ketika negara itu berdepan gelombang haba luar biasa.
Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) memaklumkan seramai 2,221 individu mengalami masalah kesihatan berkaitan haba antara 15 Mei hingga 3 Ogos lalu, dengan 19 daripada mereka dilaporkan meninggal dunia.
Menurut KDCA, jumlah kematian itu direkodkan ketika suhu panas terus melanda beberapa kawasan di negara berkenaan.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung sebelum ini mengarahkan pihak berkuasa meningkatkan bantuan kepada golongan terjejas susulan gelombang haba yang berlarutan.
Pada Selasa, seluruh kawasan Seoul masih berada di bawah amaran haba tahap tertinggi selepas indeks haba diramal mencecah 38 darjah Celsius atau suhu dijangka meningkat sehingga 39 darjah Celsius dan ke atas.
Agensi cuaca Korea Selatan dalam satu kenyataan memaklumkan keadaan haba ekstrem dan mengancam nyawa dijangka berterusan.
Suhu tertinggi dalam sejarah Korea Selatan turut direkodkan pada Ahad lalu apabila bandar Yangsan di bahagian tenggara negara itu mencatatkan bacaan 42.5 darjah Celsius.
Pihak berkuasa memberi peringatan kepada orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas melampau.



