Gempa bumi di Sumatera: Lebih 100 rumah rosak

Gempa bumi di Sumatera: Lebih 100 rumah rosak

Jakarta: Gempa bumi bermagnitud 5.7 melanda berhampiran Pulau Sumatera, Indonesia, semalam, menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), menyebabkan lebih 100 rumah rosak tanpa sebarang laporan kematian.

Gegaran berlaku pada 2.52 pagi waktu tempatan pada kedalaman 68 kilometer (km), dengan pusat gempa terletak di luar pesisir berhampiran wilayah Bengkulu, menurut USGS.

Agensi meteorologi Indonesia pula mencatatkan magnitud lebih tinggi iaitu 6, dengan pusat gempa pada kedalaman 84 km, namun menegaskan tiada ancaman tsunami dikesan.

Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Abdul Muhari, dalam satu sidang media semalam, gegaran yang berlaku merosakkan lebih 100 rumah dan sekurang-kurangnya enam kemudahan awam di ibu negeri wilayah berkenaan, Kota Bengkulu.

“Di Kota Bengkulu, sebanyak 140 rumah terjejas akibat gempa, lapan daripadanya runtuh sepenuhnya dan tidak boleh dibaiki.

“Sementara itu, di daerah Bengkulu Tengah, dua rumah mengalami kerosakan ringan akibat gegaran,” katanya.

Abdul turut memaklumkan tiada sebarang kematian dilaporkan setakat pagi semalam.

Beberapa penduduk tempatan di Bengkulu dilaporkan terjaga daripada tidur akibat gegaran, dan bergegas keluar dari kediaman masing-masing.

“Semasa gempa… tingkap rumah saya bergegar dengan kuat. Itu yang mengejutkan kami.

“Kami terus membawa anak-anak keluar dari rumah. Di luar, saya lihat semua jiran juga berada di luar rumah, berdiri di depan pintu masing-masing,” kata Erick Catur Nugroho, 36, kepada AFP.

Indonesia adalah negara kepulauan besar yang sering dilanda gempa bumi kerana terletak di Lingkaran Api Pasifik.

Kawasan terbabit berisiko tinggi terhadap aktiviti seismik dan letusan gunung berapi, yang merentasi Jepun, Asia Tenggara hingga ke Amerika.

Pada Januari 2021, gempa bumi bermagnitud 6.2 di Sulawesi meragut lebih 100 nyawa dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, pada 2018, gempa bumi bermagnitud 7.5 yang disusuli tsunami di Palu, Sulawesi meragut lebih 2,200 nyawa.

Tragedi paling dahsyat berlaku pada 2004 apabila gempa bumi bermagnitud 9.1 menggegarkan Aceh, mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 170,000 nyawa di Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top