am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tujuh lelaki tempatan ditahan, disyaki menyamar sebagai anggota polis dan menyamun warga Bangladesh di sebuah flat di Seksyen 25, di sini, minggu lalu.
Lima suspek termasuk ketua kumpulan dikenali ‘Wira Tempang’ berusia 39 hingga 54 tahun ditahan sekitar daerah ini pada Isnin lalu, manakala dua lagi ditahan di Pelabuhan Klang pada 3 petang hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa yang juga peniaga melaporkan kejadian itu pada 9.34 malam, 19 September lalu.
“Ketika berseorangan di hadapan flat dia didatangi sekumpulan lelaki mendakwa polis yang bertindak memukul dan merampas wang tunai berjumlah RM7,000 serta dua telefon bimbit milik mangsa.
“Susulan laporan, pasukan Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menggerakkan operasi menahan lima suspek pada 9 malam, Isnin lalu.
“Sementara dua lagi suspek berusia 23 dan 24 tahun ditahan hari ini, dipercayai turut terbabit dalam kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ketua kumpulan dikenali ‘Wira Tempang’ berusia 46 tahun dan bekerja sebagai penarik kereta mempunyai satu rekod jenayah.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek bukan anggota polis dan tiada mana-mana anggota terbabit dalam jenayah itu.
Mohd Iqbal berkata, lima suspek direman tujuh hari hingga 30 September, manakala permohonan reman dua suspek yang ditahan hari ini akan dibuat esok.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S Nawintran di talian 016-2052314.
© New Straits Times Press (M) Bhd




