JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan (MK) tidak menemukan dokumen yang menunjukkan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka memiliki ijazah, diploma atau sijil sebagai bukti menamatkan pendidikan di luar negara yang setara dengan pendidikan peringkat sekolah menengah atas (SMA) di Indonesia.
Memuatkan artikel berkaitan…
Perkara itu dinyatakan Hakim MK, Arsul Sani ketika membacakan pertimbangan dalam prosiding pada Selasa malam berhubung keputusan kes mengenai syarat kelayakan ijazah Gibran yang merupakan anak kepada bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokorwi.
Gibran bertanding sebagai calon naib presiden dalam Pilihan Raya Presiden 2024 dan menjadi regu Prabowo Subianto yang kini ialah presiden negara itu.
“Mahkamah meneliti semua bukti yang dikemukakan pihak-pihak dan fakta dalam persidangan.
“Mahkamah tidak menemukan dokumen yang menunjukkan Gibran Rakabuming Raka memiliki ijazah, sijil atau diploma sebagai bukti telah menamatkan pendidikan di luar negara yang setara dengan sekolah menengah atas atau sederajat seperti dimaksudkan dalam Perkara 169 huruf r dan Perkara 227 huruf i Undang-Undang Pilihan Raya,” kata Arsul di kamar bicara MK, Jakarta.
Seterusnya, MK menyatakan dokumen lain seperti ‘certificate of attendance’ yang dimiliki Gibran bukan bukti kelulusan atau tamat pengajian, sebaliknya bukti kehadiran dalam proses pembelajaran.
MK malam ini mengadakan persidangan bagi membacakan keputusan berhubung permohonan Denny Indrayana dan rakan-rakan yang mempersoalkan kesahihan syarat pencalonan Gibran sebagai calon naib presiden dalam Pilihan Raya Presiden 2024.
Persidangan Perkara Nombor 01/PHPU.PRES-XXIV/2026 itu dipengerusikan Ketua MK, Suhartoyo.
Kesemua sembilan Hakim Mahkamah Perlembagaan hadir dalam persidangan pembacaan keputusan berkenaan.
Para pemohon yang memperoalkan kalayakan Gibran turut hadir, begitu juga pihak termohon iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya, pihak berkepentingan dan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu).
Selain Denny, pihak yang mengemukakan permohonan kepada MK ialah Jawatankuasa Bebas Pemantau Pilihan Raya (KIPP), Partai Ummat, enam warga yang menganggotai Forum Purnawirawan Prajurit TNI, M Subhan, Bonatua Silalahi dan Tiurma M.S. Sihombing.
Dalam petisyen mereka, para pemohon memohon kepada Mahkamah supaya menyatakan bahawa syarat pendidikan seperti yang ditetapkan dalam Perkara 169 huruf r Undang-Undang Pilihan Raya merupakan syarat mandatori dan wajib dipenuhi secara sah ketika pendaftaran serta penetapan pasangan calon presiden termasuk naib presiden.
Namun, mahkamah itu memutuskan, ia tidak dapat membatalkan Gibran Rakabuming Raka daripada kedudukannya sebagai naib presiden seperti yang dimohonkan dalam petisyen para pemohon. – AGENSI




