Kuasai AI, ilmu baharu tanpa pinggirkan iman, akidah dan akhlak – PM

Kuasai AI, ilmu baharu tanpa pinggirkan iman, akidah dan akhlak – PM

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembangunan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan digitalisasi perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan akar iman, akhlak serta sahsiah umat Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pemahaman terhadap AI dan ilmu baharu tidak sepatutnya mencedok atau menciplak sepenuhnya pengaruh daripada negara asing, khususnya Barat, sehingga menyisihkan prinsip akidah serta nilai murni seorang Muslim.

“Cabarannya ialah bagaimana kita gunakan ilmu dan teknologi baharu ini kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan digitalisasi, tetapi berakar kepada iman, akhlak dan syaksiah kita. Nilai kita mesti kita pertahankan.

“Jangan kerana mendagangkan perubahan dan menginginkan ilmu baharu, kita tinggalkan prinsip akidah, akhlak serta sahsiah kita tersisih daripada arus sebagai seorang Muslim yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, dalam mengejar arus perubahan moden, masyarakat Islam tidak boleh lari daripada semangat membawa kebaikan dan rahmat, di samping sentiasa kembali kepada asas ajaran al-Quran serta pengajian yang mendalam.

Mengulas lanjut, beliau turut berkongsi pesanan tokoh ulama antarabangsa, termasuk Mantan Mufti Mesir yang berkunjung ke negara ini baru-baru ini menerusi anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Katanya, ulama berkenaan mengingatkan supaya umat Islam kembali mendalami khazanah ‘turath’ iaitu warisan keilmuan Islam yang terbilang sejak lebih 1,400 tahun lalu dan tidak sewenang-wenangnya mengetepikan legasi berkenaan demi mengejar pengaruh baharu.

“Ulama mengingatkan saya… kalau bawa Islam yang betul, boleh berfikir cara baharu, boleh belajar AI lain, tetapi mesti terikat kepada landasan kekuatan turath, legasi dan khazanah kita supaya tidak lari daripada semangat itu.

“Tanam kefahaman yang lebih mendalam dan jangan izinkan tersebarnya pandangan yang mendorong kepada pantas menghukum tanpa berbekal kepada ilmu yang mendalam,” katanya.

MTHQA ke-66 yang berlangsung hari ini hingga 10 Oktober ini membawa tema ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’ dan menghimpunkan 50 peserta dari 38 negara, membabitkan 25 peserta tilawah dan 25 peserta hafazan.

Malaysia diwakili oleh Mohamad Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dan Nur Syakura Mohamad Musa bagi kategori Tilawah, manakala Muhammad Izzul Afnan Sazali serta Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam untuk kategori Hafazan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top