redzuan.muharam@hmetro.com.my
Bentong: Tiada istilah penat buat seorang pemuda yang sanggup melakukan tiga pekerjaan demi menyara keluarga serta membuat persiapan menyambut kelahiran cahaya mata sulung hujung bulan ini.
Muhammad Amirul Jazmie Anuar, 28, melakukan tiga pekerjaan dalam masa yang sama iaitu eksekutif operasi, peniaga burger dan kru katering.
Semua pekerjaan itu dilakukan sejak enam tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga dengan isterinya Nur Safina Fahidah Mohd Sanusi, 28.
Biarpun memiliki Diploma Teknologi Kimpalan, Muhammad Amirul Jazmie sanggup bekerja sebagai tukang cuci di sebuah institut kemahiran dekat sini sebelum dinaikkan pangkat menjadi eksekutif operasi selepas dua tahun berbekalkan kelulusan yang ada.
Pekerjaan itu dilakukan pada siang hari dan sebelah malam, Muhammad Amirul Jazmie mencari rezeki sebagai peniaga burger dengan dibantu isteri tercinta yang kini sarat hamil.
Manakala pada hujung minggu, dia mengambil upah sebagai kru katering di majlis perkahwinan atau sebarang acara keramaian.
“Saya buat lebih satu kerja kerana tengok kawan dan orang lain boleh berjaya dengan melakukannya jadi mengapa tidak saya ikut jejak langkah mereka.
“Waktu jadi tukang cuci, memang ada orang yang perlekehkan dan tanya sampai bila nak buat kerja itu.
“Selepas dua tahun, saya berunding dengan jabatan sumber manusia (HR) dan rezeki berpihak kepada saya apabila ditawarkan menjadi eksekutif operasi,” katanya kepada Harian Metro.
Muhammad Amirul Jazmie mengakui letih namun baginya, tanggungjawab sebagai ketua keluarga amat berat dan kerana itu dia bertahan melakukan tiga pekerjaan.
Setakat ini, Muhammad Amirul Jazmie tiada masalah daripada segi pengurusan masa kerana jadual kerja masih tersusun dan tidak bertindih dengan satu sama lain.
“Rutin harian saya, bangun jam 6.30 pagi untuk bersiap pergi kerja yang bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
“Dalam jam 6 petang, saya akan tiba di rumah dan terus bersiap untuk buka gerai jam hingga 12 tengah malam atau paling lewat satu pagi.
“Hujung minggu pula ambil upah sebagai kru katering dengan dibayar mengikut hari dan begitulah rutin saya sejak enam tahun lalu.
“Kena korbankan masa tidur tapi pendapatan berbaloi kerana boleh dapat antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan,” katanya.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, keluarga pada awalnya tidak yakin terutama apabila dia menyatakan hasrat membuka gerai burger.
Bagaimanapun, Muhammad Amirul Jazmie nekad meneruskan apa dirancang tiga tahun lalu hasil dorongan isteri dan rakan terdekat yang meminjamkan wang untuk dijadikan modal.
“Saya redah saja dan tebalkan muka pinjam dengan kawan… syukur mereka tolong malah datang beri sokongan dengan jadi pelanggan saya.
“Ikutkan, saya dengan adik beradik dibesarkan ayah (Anuar Mahmud, 56) dengan hasil berniaga burger dan dulu, saya malu kerana anggap keluarga miskin, tak macam orang lain.
“Tapi ditakdirkan, saya kini mengikut jejak langkah ayah dan sudah mula berniaga sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.
“Cuma waktu itu saya menjual dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal… awalnya kecil-kecilan cuma baru tiga tahun ini dapat buka gerai,” katanya.
Muhammad Amirul Jazmie berkata, selagi ada kudrat, dia akan teruskan dengan apa dilakukan sekarang dan bersyukur dengan sambutan diterima.
“Saya pun buat siaran langsung di TikTok jadi ada dalam kalangan pelanggan datang selepas melihat perkongsian saya di platform berkenaan.
“Jadi akan teruskan dan jika ada rezeki, saya nak buka kedai burger dan tambah lagi menu.
“Saya buat semua ini untuk anak dengan isteri selain berkongsi rezeki dengan keluarga juga menyambung legasi ayah yang sudah berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas terbabit dalam kemalangan,” katanya yang turut mengambil tempahan burger bagi tujuan infaq.
© New Straits Times Press (M) Bhd




