Giroud pemain tertua jaringkan gol buat Perancis

PENYERANG Milan, Oliver Giroud menjadi pemain tertua Perancis yang berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan kompetitif pada usia 35 tahun 357 hari.

Pada aksi yang berlangsung Liga Negara-Negara UEFA di Paris, Oliver Giroud menjaringkan gol pada minit ke-65 hanya sembilan minit selepas Kylian Mbappe membuka tirai jaringan untuk Perancis.

“Giroud telah menunjukkan karakter sebenarnya. Dia merupakan seorang pemain yang akan memberikan segala-galanya untuk pasukan sekiranya beraksi dalam sesuatu perlawanan.

“Jadi saya perlu ucap tahniah kepadanya kerana ia bukan satu perkara yang mudah untuk menjaringkan gol pada usia tersebut. Dia seorang individu yang mempunyai mentaliti pahlawan,” kata rakan sepasukan Jonathan Clauss.

Sebelum ini, rekod pemain tertua Perancis yang berjaya menjaringkan gol dipegang oleh Roger Marche sewaktu berusia 35 tahun 287 hari ketika perlawanan menentang Sepanyol pada tahun 1959.

Dengan gol yang dijaringkan Giroud, penyerang Milan itu kini hanya dibezakan dengan dua jaringan di belakang penjaring terbanyak Perancis, Thierry Henry (51).