Real Madrid sambut baik FIFA batal pelan pelabur Piala Dunia

Real Madrid sambut baik FIFA batal pelan pelabur Piala Dunia

Madrid: Real Madrid menyambut baik keputusan FIFA membatalkan cadangan kontroversi yang membenarkan pelabur swasta melabur dalam Piala Dunia, sambil menyifatkan langkah itu sebagai kemenangan buat masa depan bola sepak.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, menarik balik cadangan itu pada Jumaat lalu selepas menerima tentangan hebat daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) serta beberapa konfederasi lain.

Dalam kenyataan rasmi, gergasi Sepanyol itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai perkembangan positif kepada sukan berkenaan.

“Kelab kami percaya ini adalah berita baik untuk bola sepak, institusinya dan paling penting jutaan peminat sukan ini.

“Real Madrid ingin merakamkan penghargaan kepada UEFA, konfederasi, persatuan bola sepak dan semua institusi yang bersatu serta bertindak tegas menentang projek ini.

“Kesepakatan dan tanggungjawab mereka berjaya melindungi bola sepak pada saat yang amat penting,” menurut kenyataan itu.

Sokongan Madrid terhadap UEFA dilihat signifikan memandangkan kelab itu sebelum ini antara pengasas projek Liga Super Eropah yang gagal direalisasikan.

Namun pada Februari lalu, Real Madrid mengumumkan sudah mencapai persefahaman dengan UEFA demi kepentingan bola sepak kelab Eropah sekali gus menamatkan hubungan tegang yang berlarutan sejak beberapa tahun.

Selasa lalu, FIFA mengumumkan rancangan menubuhkan sebuah anak syarikat komersial bagi mengendalikan kejohanan utamanya termasuk Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab, dengan syarikat itu dibuka kepada pelaburan swasta.

Infantino berkata cadangan berkenaan berpotensi menjana sehingga AS$4.2 bilion (kira-kira RM19 bilion).

Bagaimanapun, UEFA mengetuai bantahan terhadap rancangan itu sehingga mengancam untuk memulaukan semua kejohanan FIFA, selain menyatakan mereka sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Infantino.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top