am@hmetro.com.my
Kota Samarahan: Selepas kejayaan penganjuran sulung Karnival Jom Heboh (KJH) Sarawak Segulai Sejalai di Kota Samarahan, karnival popular itu bakal menemui peminat di Miri pada penghujung September depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata sambutan luar biasa yang diterima di Kota Samarahan membuktikan program itu terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
“Saya dapat melihat keriangan pada wajah mereka yang datang memeriahkan Jom Heboh di Kota Samarahan. Kita jumpa lagi di Miri pada hujung bulan September,” katanya ketika ditemui selepas penutupan Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai di pekarangan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), malam ini.
Dalam perkembangan sama, Abdul Karim turut memberi jaminan Karnival Jom Heboh akan kembali mewarnai Kota Samarahan tahun depan susulan kejayaan penganjuran sulung yang berlangsung selama tiga hari.
Beliau berkata, keadaan cuaca yang baik sepanjang penganjuran serta kerjasama erat daripada penduduk setempat menjadi antara faktor utama kejayaan karnival berkenaan.
“Alhamdulillah, sepanjang tiga malam penganjuran kita dianugerahkan cuaca yang baik. Terima kasih juga kepada penduduk Kota Samarahan yang memberi kerjasama begitu baik sepanjang Karnival Jom Heboh berlangsung.
“Ini adalah kali pertama Jom Heboh diadakan di Kota Samarahan. Semua yang hadir mahu lagi tahun depan. Insya-Allah, jika kerjasama daripada rakyat Kota Samarahan berterusan seperti ini, kita akan bawa semula Jom Heboh ke Kota Samarahan tahun depan,” katanya.
Pada kemuncak penganjuran malam tadi, kira-kira 20,000 pengunjung membanjiri tapak karnival, manakala konsert penutup dimeriahkan dengan persembahan Baby Shima, Wany Hasrita, K.O.I, Syamel dan Marsha Milan, sekali gus menutup tirai penganjuran sulung Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai di Kota Samarahan dengan penuh meriah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




