PETALING JAYA: Pencalonan dalam kelompok tiga terbaik kategori Jurulatih Terbaik Liga M Awards 2025-26 menjadi satu lagi pengiktirafan bermakna buat ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak selepas konsisten membimbing kebangkitan kelab itu sejak penghujung musim 2023.
Selepas berjaya merangkul anugerah sama pada edisi lalu, Aidil sekali lagi tersenarai sebagai calon utama, namun pengendali kelahiran Singapura itu mengakui persaingan kali ini jauh lebih mencabar apabila perlu bersaing dengan dua nama besar, Xisco Munoz dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kim Pan Gon yang mengemudi Selangor FC.
Menurut Aidil, kedua-dua jurulatih berkenaan mempunyai kekuatan tersendiri selepas berjaya membawa pasukan masing-masing mencatat pencapaian membanggakan sepanjang musim lalu.
Munoz mencipta sejarah bersama JDT apabila membantu gergasi selatan itu meneruskan dominasi dengan menjulang empat trofi dalam satu musim buat kali keempat berturut-turut, manakala Pan-gon pula membimbing Selangor menjadi antara pencabar utama termasuk bersaing rapat dengan Kuching City dalam perebutan kedudukan naib juara Liga Super.
“Pada saya, saban tahun setiap kali saya di Malaysia, saya akan berada dalam kelompok tiga terbaik selain musim 2022 dan 2023 ketika saya di Indonesia dan saya amat bersyukur apabila tiap kali tercalon.
“Dan akhirnya pada edisi lalu saya dapat meraih trofi ini buat kali pertama, jadi untuk musim 2025-26 saya tidak mahu terlalu berharap kerana saya akui saingan cukup kuat daripada Munoz dan Pan Gon yang juga tidak kurang hebatnya bersama Selangor FC.
“Secara peribadi, dua figura ini cukup kuat untuk dinobatkan sebagai pemenang dan saya tetap bersyukur apabila dicalonkan lagi untuk edisi ini,” katanya.
Dalam pada itu, Aidil kini mengalihkan fokus kepada persiapan Kuching City menghadapi musim baharu apabila skuad berkenaan sedang menjalani kem latihan pramusim di Chiang Mai, Thailand.
Kuching City bakal membuka tirai musim baharu dengan aksi berprestij menentang JDT dalam Perlawanan Sumbangsih pada 21 Ogos ini, sekali gus menjadi ujian awal terhadap kemampuan skuad kendalian Aidil.
Sementara itu, Liga M Awards 2025-26 bakal menyaksikan hanya tiga calon terakhir dipilih bagi setiap kategori daripada senarai awal 10 calon menerusi undian membabitkan 13 ketua jurulatih, 13 kapten pasukan Liga Malaysia 2025-26 serta 13 wakil media.
Anugerah berprestij anjuran Malaysian Football League (MFL) itu akan berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur pada 12 Ogos 2026 (Rabu), bermula jam 8.30 malam hingga 10 malam dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Sukan+ serta RTMKlik.
Edisi kali ini turut mencipta sejarah apabila MFL menjalinkan kerjasama bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku Penyiar Rasmi, manakala Usaha Jana Sdn. Bhd. tampil sebagai Rakan Strategik Acara Rasmi dan Penganjur Bersama bagi memastikan malam penghargaan bola sepak tempatan itu berlangsung dengan standard lebih tinggi.-UTUSAN




