London: Jaringan kemenangan Yoane Wissa di babak kedua memastikan Brentford merakam kemenangan ke atas Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.
Kemenangan 2-1 itu dilihat cukup bermakna buat memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan buat Brentford yang beraksi di laman sendiri itu.
Dalam aksi itu, Palace terlebih dulu berpeluang mendahului seawal minit 26 menerusi sepakan percuma menarik Eberechi Eze namun pengadil membatalkan ekoran foul yang berlaku.
Akhirnya tuan rumah menemui gol pertama hasil jaringan Bryan Mbuemo pada minit 29 untuk menggembirakan penyokong.
Bersambung babak kedua, Palace mengikat kedudukan hasil jaringan sendiri Ethan Pinnock di minit 56 yang mengejutkan penyokong tuan rumah.
Stadium Gtech Community kembali riuh apabila Wissa meledak gol kedua yang juga jaringan kemenangan buat Brentford bagi membolehkan pasukannya meraih tiga mata penuh.
Hasil keputusan itu, Brentford kini berada di tangga kelima carta EPL selepas saingan liga kembali membuka tirainya minggu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd