Golongan ibu teruja tangkap ikan guna tangan

Golongan ibu teruja tangkap ikan guna tangan

ALOR GAJAH – Lapan peserta wanita sanggup berdepan pacat dan lintah apabila menyertai pertandingan ngoca atau menangkap ikan menggunakan tangan di Kampung Kuala Sungga, Tebong di sini hari ini.

Lebih menarik, pertandingan bagi kategori wanita bersempena Jom Ngoca Raya Kuala Sungga itu menawarkan hadiah wang tunai RM300, RM200 dan RM100 bagi tiga pemenang teratas.

Ibu kepada dua anak, Syarafiza Zahari, 24, berkata, ini adalah kali pertama dia menyertai ngoca malah menjadi pengalaman berharga apabila berjaya menangkap ikan menggunakan tangan.

“Kalau ikutkan, memang saya geli dengan lumpur, pacat dan lintah tapi bila tahu ada hadiah wang tunai membuatkan saya beranikan diri untuk mencuba.

“Tak sangka pula, saya dapat daratkan ikan keli seberat tiga kilogram (kg) sekali gus mendapat tempat kedua dengan hadiah RM200 ,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

 

Hee Sem (tiga dari kiri) merasmikan pertandingan ngoca atau menangkap ikan menggunakan tangan di Kampung Kuala Sungga, Tebong, Alor Gajah, Melaka hari ini.
.

Seorang lagi peserta Norlaila Maamor, 40, berkata, dia sememangnya menunggu untuk menyertai pertandingan itu tahun ini kerana tahun lalu tiada kategori wanita dipertandingkan.

“Sejujurnya, saya tak pernah lagi tangkap ikan menggunakan tangan di mana-mana tali air atau kolam.

“Syukur alhamdulillah, cubaan kali pertama membuahkan hasil apabila berjaya memegang ekor ikan keli dan dinobatkan pemenang tempat ketiga menerima RM100,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, kira-kira 300 penduduk hadir serta menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan seperti ngoca ikan terpantas, ngoca ikan terberat, ngoca ikan misteri, jambatan goyang dan cabutan bertuah.

Menurutnya, tradisi rumah terbuka Aidilfitri sambil menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan itu akan dianjurkan dengan skala lebih besar tahun depan.

“Walaupun Kuala Sungga tidak mempunyai sawah padi dan keadaan terhad namun dengan adanya tali air serta kolam, acara ngoca mampu mencuri perhatian penduduk setempat.

“Menariknya, program ini dapat mengeratkan hubungan pelbagai lapisan kaum,” katanya yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri. – MalaysiaGazette

Scroll to Top