Graduan logistik kompeten

Graduan logistik kompeten

suliati@hmetro.com.my

Industri logistik biasanya dikaitkan dengan pengangkutan darat dan laut.

Namun, sebenarnya bidang logistik ini sangat besar dan menawarkan peluang pekerjaan yang meluas.

Menyedari hakikat itu, dalam usaha melahirkan graduan kompeten di bidang pengurusan logistik, sekali gus memenuhi keperluan tenaga profesional negara dalam sektor pengangkutan, pergudangan, agensi perkapalan dan sebagainya, Kolej Profesional Mara (KPM) Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor memperkenalkan Program Pengurusan Logistik (DLM) pada 2008.

Sehingga kini, KPM Bandar Penawar sudah melahirkan 1,887 graduan dalam bidang pengurusan logistik ini.

Selain mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), menariknya program ini juga mendapat kelulusan akreditasi badan profesional iaitu The Chartered Institusi of Logistics and Transport (CILT) bermula 2020.

Program ini mendapat pengiktirafan CILT selepas KPM melaksanakan modul dan syarat yang ditetapkan badan terbabit.

Hal itu secara tidak langsung melayakkan graduan layak mendapat dwi-pensijilan selepas tamat pengajian dalam tempoh dua tahun.

Pengarah KPM Bandar Penawar, Md Zan Md Yausuf berkata, uniknya graduan yang dilahirkan menerusi program ini mendapat dwi-pensijilan selepas tamat tempoh dua tahun dengan adanya pengiktirafan CILT ini.

Katanya, CILT adalah badan profesional yang berkaitan dengan logistik di peringkat antarabangsa dan dianggotai lebih daripada 30 negara.

“Pada 2020, CILT melakukan audit terhadap KPM Bandar Penawar dan hasilnya, kami mendapat akreditasi penuh, sekali gus diiktiraf sebagai tempat melahirkan graduan untuk program CILT.

“Kesannya kepada pelajar ialah apabila mereka menamatkan pengajian di sini, mereka akan menerima dua sijil iaitu diploma pengurusan logistik yang diiktiraf MQA dan sijil profesional yang diiktiraf CILT.

“Bukan itu saja, pelajar juga akan dirai dalam dua majlis konvokesyen iaitu Majlis Konvokesyen IPMA dan Konvokesyen yang dianjurkan CILT,” katanya.

Menyentuh peluang kerjaya, Md Zan berkata, peluang pekerjaan bagi graduan DLM ini meluas kerana pensijilan profesional CILT adalah nilai tambah kepada program sedia ada.

“Semua modul CILT diterapkan dalam silibus DLM menjadi keperluan industri logistik. Ia sekali gus memberi peluang kepada graduan meneroka pasaran pekerjaan di peringkat antarabangsa kerana diiktiraf negara Komanwel.

“Oleh itu, selain berharap graduan dapat menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi dalam bidang ini, saya juga mengharapkan graduan DLM menjadi usahawan dalam bidang logistik sebagaimana yang dikehendaki Mara bagi melahirkan lebih ramai anak Bumiputera meletakkan diri mereka sebagai usahawan khususnya dalam bidang logistik di negara ini,” katanya.

Sementara itu, graduan Diploma Pengurusan Logistik Bersepadu (DLM) KPM Bandar Penawar, Syed Muhammad Razif Syed Abdullah berkata, definisi logistik baginya adalah pergerakan pengangkutan dari satu destinasi ke destinasi lain.

Sejujurnya, sebelum ini dia hanya mengetahui logistik adalah penghantaran barang semata-mata. Hakikatnya, bidang logistik ini sangat meluas.

“Bidang logistik ini juga adalah salah satu program yang sangat baik dan memberi banyak pendedahan terutama kepada pelajar berkaitan industri.

“Silibus pembelajarannya juga tidak hanya tertumpu pada teori, tetapi tugasan yang diberikan memberi pendedahan dengan keadaan sebenar industri ini yang mana menuntut kami turun sendiri ke lapangan termasuk kunjungan ke pelabuhan Johor dan kastam untuk berinteraksi secara depan bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan logistik.

“Apabila sudah mempelajarinya dengan lebih mendalam, baru saya nampak bidang logistik sangat meluas, sekali gus membuatkan saya berpandangan jauh dalam bidang ini,” katanya yang merancang bekerja di pelabuhan dan kargo (bahagian penerbangan).

Syed Muhammad Razif berkata, sepanjang dua tahun pengajian dalam DLM di KPM Bandar Penawar, pelajar disarankan turun sendiri ke lapangan bagi melihat kerja dalam logistik secara lebih dekat.

“Selain itu, walaupun masih memegang status pelajar, kami sudah ditugaskan mencari syarikat luar dan pendekatan sendiri untuk berjumpa serta menemu ramah bagi mendapatkan maklumat.

“Dengan sistem pembelajaran seperti ini, ia secara tidak langsung memahirkan kami pelajar dalam bidang ini, sekali gus membuka peluang pekerjaan yang luas sesudah selesai mengikuti pengajian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd