Penduduk dakwa sudah lama tidak nampak kanak-kanak mangsa dera keluar bermain

Penduduk dakwa sudah lama tidak nampak kanak-kanak mangsa dera keluar bermain

Gombak: Penduduk pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang mendakwa sudah lama tidak melihat kelibat kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia semalam disyaki akibat didera, bermain di sekitar kawasan perumahan itu bersama kanak-kanak lain.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, kanak-kanak berusia lapan tahun tersebut biasanya sering dilihat bermain di depan rumah bersama adiknya dan kanak-kanak lain.

Beliau berkata, bagaimanapun sejak kebelakangan ini, kanak-kanak itu tidak kelihatan seperti biasa.

“Lama juga saya tidak nampak dia keluar bermain seperti biasa, selalunya dia ada main di depan rumah dengan adik-adik dia dan budak-budak yang lain,” katanya kepada pemberita di pekarangan pangsapuri itu hari ini.

Wanita itu berkata, keluarga mangsa tinggal di pangsapuri berkenaan sejak setahun lalu.

Seorang lagi penduduk yang juga enggan dikenali melahirkan rasa terkejut dengan kejadian itu dan bersimpati atas apa yang menimpa kanak-kanak malang tersebut.

“Mereka ini tak sombong, ada juga bertegur sapa, sejak mereka tinggal di sini tak pernah pula dengar ada pertengkaran, kanak-kanak di sini juga kerap ke rumah itu untuk membeli aiskrim,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia disyaki akibat didera di sebuah pangsapuri dekat Bandar Tasik Puteri, Rawang semalam.

Susulan itu, polis menahan bapa tiri dan ibu kandung kanak-kanak tersebut bagi siasatan lanjut selepas pemeriksaan mendapati ada kesan lebam di muka, tangan, kaki serta badan mangsa dipercayai dicederakan dengan tangan atau kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul.

Pasangan berusia 29 dan 28 tahun itu, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pembuat aiskrim, ditahan reman tujuh hari hingga 24 Ogos untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd