London: Pemain antarabangsa England, Ivan Toney, tidak disenaraikan dalam skuad Brentford untuk perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka menentang Crystal Palace disebabkan statusnya bersama kelab berkenaan menjadi tanda tanya.
Pemain berusia 28 tahun itu hanya tinggal satu tahun lagi dalam kontraknya dengan kelab London berkenaan dan dijangka akan meninggalkan kelab sebelum jendela perpindahan bulan ini berakhir.
Khabar angin menyebut bahawa terdapat perpindahan lumayan ke Arab Saudi, dengan kebanyakan pasukan besar EPL tidak mungkin menambah penyerang sebelum jendela perpindahan ditutup.
“Terdapat banyak perkara yang berlaku dengan Ivan, ada minat perpindahan. Oleh kerana semua itu, kami memutuskan untuk tidak membabitkannya dalam skuad,” kata pengurus Brentford, Thomas Frank, kepada Sky Sports.
Toney bersinar pada musim 2022/23, menjaringkan 20 gol EPL untuk The Bees.
Namun, dia terlepas separuh pertama saingan musim lalu akibat larangan kerana melanggar peraturan pertaruhan dan sukar untuk memberi impak yang sama selepas kembali.
Toney, bagaimanapun, adalah pilihan penting dari bangku simpanan untuk Gareth Southgate ketika perjalanan ke final Euro 2024.
“Dia menjadi pemain yang cemerlang untuk kami, tetapi kami menunjukkan tahun lalu khususnya bahawa kami boleh bertahan tanpa dia,” tambah Frank.
“Ada minat, tetapi tiada yang hampir (untuk diselesaikan).”
Kapten Palace, Marc Guehi, memulakan perlawanan walaupun Eagles menolak beberapa tawaran untuk pertahanan England itu daripada Newcastle.
© New Straits Times Press (M) Bhd