Graduan TVET MARA berpeluang raih gaji sehingga RM5,000 sebulan

Graduan TVET MARA berpeluang raih gaji sehingga RM5,000 sebulan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas Samsung dan DayOne, sebuah lagi syarikat Multinasional (MNC) Antarabangsa Peranchis , Schneider Electric memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk merekrut graduan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perjanjian yang dimeterai itu membolehkan graduan berkenaan menikmati gaji premium antara RM4,500 ke RM5,000.

Menurutnya, MARA akan lebih agresif mengenal pasti syarikat pelabur asing dan rakan strategik dalam kalangan kalangan pemain industri utama termasuk syarikat multinasional (MNC) untuk menjalin kerjasama.

“Ia bagi memastikan semua modul, kurikulum latihan TVET di semua 270 institusi pendidikan bukan saja relevan dengan kehendak industri malah mendapat pengiktirafan sijil profesional antarabangsa.

“Langkah itu dapat menjamin peluang pekerjaan kepada graduan TVET MARA yang memiliki sijil kemahiran dan diploma serta ijazah dengan gaji premium,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook (Fb) hari ini.

Perkongsian Asyraf itu mendapat reaksi positif daripada rata-rata warganet yang melihat kerjasama terjalin peluang terbaik buat graduan TVET MARA mengembangkan potensi diri.

“Terima kasih atas usaha Datuk demi anak bangsa… semoga ramai lagi yang berkhidmat demi agama negara bangsa.

“Semoga Malaysia aman makmur dan melahirkan generasi akan datang dengan lebih beragama, beradab, berakhlak, berpelajaran serta berilmu,” tulis seorang pengguna Fb, Rina Mohamad.

“Selamaf maju jaya Datuk. Semoga kerjasama melalui

MoU yang dimeterai bermanfaat untuk seluruh institusi di bawah MARA dan semua penuntut serta graduan,” tulis seorang lagi pengguna Fb, Zie Jalil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top