Guna tenaga berpendidikan tertiari bekerja separuh mahir, kemahiran rendah naik 1.94j

Guna tenaga berpendidikan tertiari bekerja separuh mahir, kemahiran rendah naik 1.94j

KUALA LUMPUR – Situasi pasaran buruh yang menggalakkan pada suku tahun keempat 2023, berikutan kadar pengangguran kembali ke paras prapandemik iaitu 3.3 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata, permintaan dalam negeri yang lebih tinggi telah mewujudkan persekitaran menggalakkan kepada industri, menyebabkan peningkatan dalam pengeluaran oleh pengembangan ekonomi hampir kesemua sektor sekali gus menjadikan permintaan buruh lebih kukuh meskipun dengan persekitaran luaran yang mencabar.

Mencerminkan perkembangan ekonomi yang bertambah baik sepanjang suku tahun tersebut, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat 0.6 mata peratus tahun ke tahun, mengekalkan kadar tertinggi iaitu 70.1 peratus berbanding suku sebelumnya.

Bilangan tenaga buruh bertambah 2.2 peratus untuk merekodkan 16.91 juta orang pada suku keempat 2023, terutamanya didorong oleh kenaikan 2.5 peratus dalam penduduk bekerja, yang merangkumi 16.35 juta orang.

Sebaliknya, bilangan penganggur berkurang 5.9 peratus kepada 565,000 orang, menjadikan kadar pengangguran negara pada 3.3 peratus, menunjukkan hampir kembali ke paras prapandemik (ST4 2022: 3.6%, ST4 2019: 3.2%).

Mengulas kepada situasi guna tenaga tidak penuh, beliau berkata, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu mencatatkan pertambahan 6.6 peratus berbanding suku yang sama pada tahun 2022, dengan sejumlah 286,100 orang.

Sehubungan itu, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat 8.5 peratus kepada 181,600 orang, dengan kadar 1.1 peratus.

Permintaan buruh di Malaysia terus bertambah baik pada suku ini dengan pertumbuhan 0.6 peratus dalam bilangan pewujudan jawatan untuk memenuhi keperluan industri, merangkumi 31,100u jawatan.

Seiring perkembangan ekonomi pada suku keempat 2023, produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah per pekerja meningkat 0.5 peratus (ST3 2023: 0.6%) berbanding suku yang sama tahun lepas untuk merekodkan nilai RM25,080 per pekerja (ST3 2023: RM24,470; ST4 2022: RM24,966).

Pada masa yang sama, jumlah jam bekerja pada suku keempa tahun 2023 melonjak sebanyak 2.3 peratus untuk mencatatkan sejumlah 9.42 bilion jam.

Oleh itu, nilai ditambah per jam bekerja turut meningkat 0.7 peratus, dengan nilai RM43.5 per jam (ST3 2023: RM42.2; ST4 2022: RM43.2). – MalaysiaGazette