Mas Ermieyati kecewa pemecatan Ammar

Mas Ermieyati kecewa pemecatan Ammar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bimbang dan terkejut dengan berita pemecatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Negara, Datuk Dr Ammar Abd Ghappar hari ini.

Menurut beliau, tanpa alasan kukuh, kontrak Dr Ammar telah ditamatkan begitu sahaja walaupun beliau merupakan antara tokoh dan aset kepada pelancongan di negara ini.

Untuk makluman, Mas Emeryanti yang pernah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada tahun 2015 sehingga 2018.

“Saya pernah bekerjasama dengan Datuk Dr Ammar dan beliau seorang yang berdedikasi dalam menjalankan tugas dan komited untuk meningkatkan pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Dr Ammar Abd Ghapar

Beliau dalam masa yang sama juga bimbang dengan dakwaan salahguna kuasa melibatkan menteri sekarang, Datuk Seri Tiong King Sing.

“Dalam usaha negara yang bakal menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, tuduhan terhadap salah laku King Sing amat membimbangkan dan saya menggesa pihak berkenaan mengambil tindakan segera menyiasat dakwaan yang serius ini.

“Jika kerajaan serius menegakkan ketelusan dan tata kelola yang baik sebaiknya siasat dan mengeluarkan kenyataan yang jelas mengenai segala dakwaan yang diketengahkan pelbagai pihak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan penamatan kontrak Dr Ammar daripada Menteri (MOTAC) berkuatkuasa pada 26 Februari ini, surat tersebut dipercayai dikeluarkan semalam.

Kata Mas Ermieyati, pemain industri pelancongan bimbang jika tiada siasatan atau kenyataan rasmi dari pihak kerajaan, dakwaan yang tersebar akan menjejaskan industri pelancongan negara.

Jelasnya, dakwaan melibatkan tindakan dan tingkah lakunya tidak mencerminkan integriti dan standard etika yang diharapkan daripada seorang menteri terutamanya di negara seperti Malaysia yang terkenal dengan budaya kerja berbilang kaum dan harmoni.

“Tuduhan terhadap King Sing merisaukan banyak pihak.  Bermula dari pelantikan rakan-rakan dan ahli keluarga ke jawatan penting dalam pejabat pelancongan adalah kesan nepotisme dan kronisme yang kedua-duanya tidak mempunyai tempat dalam kerajaan yang telus dan berasaskan merit.

“Pertukaran sewenang-wenangnya pegawai kerajaan tanpa alasan yang munasabah menimbulkan persoalan serius tentang motif di sebalik tindakan tersebut.Penyalahgunaan dana kerajaan adalah satu lagi tuduhan serius yang tidak boleh diabaikan.

“Sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, dan sebarang salah urus atau penyelewengan dana boleh membawa kesan buruk kepada industri dan negara secara keseluruhannya,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top