Washington: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memaklumkan pasukan pengaman akan diperlukan di Lubnan selepas mandat misi semasa tamat pada hujung tahun ini.
Beliau berkata, perkara itu berkemungkinan menghadapi tentangan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Pada Ogos tahun lalu, Majlis Keselamatan PBB di bawah tekanan AS memutuskan untuk menamatkan mandat Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) pada 31 Disember 2026.
Bagaimanapun, majlis itu meminta Guterres mengemukakan pilihan menjelang 1 Jun bagi membolehkan pasukan pengaman PBB kekal di Lubnan.
Ia khususnya untuk memantau Garisan Biru yang merentasi 120 kilometer (km) yang menandakan sempadan ‘de facto’ antara Lubnan dan Israel.
Difahamkan, dalam laporan kepada Majlis Keselamatan yang dilihat AFP, Guterres mencadangkan tiga pilihan membabitkan antara hampir 2,000 hingga lebih 5,500 anggota pengaman PBB.
Beliau berkata, kehadiran PBB yang terdiri daripada anggota berseragam diperlukan untuk meredakan ketegangan, dialog, perhubungan dan penyelarasan dan menyokong Angkatan Tentera Lubnan.
Dalam pada itu, kebimbangan mengenai penarikan keluar UNIFIL timbul ketika tentera Israel menduduki kawasan sempadan selatan Lubnan.
Ia juga berlaku ketika Israel dan Lubnan mengadakan rundingan langsung bagi menamatkan konflik berdekad lamanya.
UNIFIL ketika ini mempunyai kira-kira 7,500 pasukan pengaman dari hampir 50 negara yang ditempatkan di selatan Lubnan berhampiran Garisan Biru.
Pasukan itu menjadi penampan antara Lubnan dan Israel sejak 1978, namun kehadirannya tidak menghalang konflik berulang.
Sementara itu, Duta Lubnan ke PBB, Ahmad Arafa berkata, Beirut menyokong pengekalan kehadiran PBB selepas UNIFIL ditamatkan.
Wakil PBB China, Fu Cong pula berkata, Majlis Keselamatan perlu membuat keputusan bertanggungjawab bagi memastikan kesinambungan kehadiran PBB di Lubnan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




