London: Viktor Gyokeres menepis daripada khabar angin bahawa dia mungkin akan mengikuti Ruben Amorim ke Manchester United dengan menegaskan dia masih ‘menikmati’ masanya di Sporting.
Pemain berusia 26 tahun itu membuktikan dirinya sebagai salah satu pemain serangan yang paling diingini dalam bola sepak Eropah selama dua musim lalu, dan persembahan ketika Sporting menang ke atas Estrela 5-1 membuatkan spekulasi semakin bertiup kencang.
Ia adalah malam yang penuh emosi di Stadium Jose Alvalade Sporting dengan sepak mula hanya beberapa jam selepas pengesahan rasmi United mengenai pelantikan Amorim sebagai pengurus baharu mereka.
Gyokeres yang juga dikaitkan dengan Arsenal dan Chelsea, mencatatkan hatrik yang menakjubkan pada separuh masa pertama dan ketika perlawanan berbaki 20 minit lagi, pemain Sweden itu menambah jaringan keempat untuk menambah derita Estrela.
Selepas persembahan memukau Gyokeres dengan dua gol dalam kemenangan ke atas Nacional sebelum itu, penyokong United benar-benar terpesona dan mula mendesak agar penyerang itu mengikuti jejak langkah pengurusnya ke Old Trafford.
Bekas pertahanan United, Rio Ferdinand, adalah antara peminat Gyokeres dan ramai menggesa Red Devils untuk ‘memecahkan bank’ bagi mendapatkan penyerang itu, walaupun ini menimbulkan keraguan mengenai masa depan Rasmus Hojlund di Theatre of Dreams.
“Ikut Amorim ke Manchester United? Saya tidak tahu,” jawab Gyokeres apabila ditanya mengenai kemungkinan menyertai Amorim selepas aksi pemain terbaik perlawanan menentang Estrela.
“Saya di sini. Seperti yang anda lihat, saya menikmatinya di Sporting.
“Ini bukan sesuatu yang saya fikirkan dengan serius. Saya sedih tentang pemergian beliau (Amorim). Kami mendoakan yang terbaik untuknya.”
Laporan terkini menunjukkan Gyokeres mungkin dibenarkan meninggalkan Sporting dengan bayaran antara £50-58 juta (RM238.27-238.27 juta) dalam jendela perpindahan Januari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




