Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menasihati penduduk di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu supaya bertenang serta mematuhi arahan pihak berkuasa susulan amaran tsunami berikutan gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang berlaku di Mindanao, Filipina pagi tadi.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di daerah terbabit telah diaktifkan serta-merta bagi menangani dan bersiap siaga mendepani situasi tersebut.
“Adalah penting untuk rakyat kekal bertenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri kini sedang memantau perkembangan keadaan itu dengan rapi.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan kenyataan bahawa ombak tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai daerah berkenaan bermula jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




