Plastik pun belum buka ketika Proton X50 terbabit kemalangan

Plastik pun belum buka ketika Proton X50 terbabit kemalangan

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, baharu beberapa jam diambil dari sebuah pusat jualan di Juru, Pulau Pinang pagi semalam, malah plastik balut kerusi juga belum dibuka.

Allahyarham Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, dikatakan mengambil kenderaan terbabit kira-kira jam 11 pagi sebelum membawa pulang SUV itu untuk membawa isteri, anak dan ahli keluarganya yang lain ke Merbok untuk bersiar-siar.

Keadaan SUV itu ketika terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu masih berbalut plastik pada bahagian kerusi penumpang hadapan dan belakangnya.

Ahli keluarga mangsa, Ibrahim Ghazali, 39, yang juga abang ipar kepada Ahmad Fahim memaklumkan anaknya, Iskandar Affan, 7, turut terkorban dalam kemalangan itu mengikut bapa saudaranya pada saat akhir kerana mahu menaiki kenderaan baharu.

Katanya, Ahmad Fahim yang bertugas sebagai anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang berhasrat membawa keluarganya bersiar sebelum terbabit kemalangan.

Malah katanya, mereka sempat meluangkan masa menziarahi kubur arwah bapa mangsa di Penaga.

“Pagi ini (semalam) mereka seronok sangat nak ambil kereta dan sempat ambil gambar kereta baru keluar termasuk anak saya (Iskandar Affan) dan dia nak naik kereta tu.

“Namun tak sangka semua mereka terbabit kemalangan yang berlaku sekelip mata,” katanya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Shah mengesahkan mereka yang maut selain Ahmad Syafiq adalah isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Sungai Bakap serta anak mereka Ahmad Mikail yang berusia dua bulan.

Turut terkorban, adik Ahmad Syafiq iaitu Ahmad Fahim, 21, yang juga jurujual kedai telefon dan ibu mereka, Nora Mohd Husin berusia 55 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top