Hakim Danish terlepas podium, dipintas Alvaro Carpe pada hujung saingan Moto3

Hakim Danish terlepas podium, dipintas Alvaro Carpe pada hujung saingan Moto3

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli hampir menghadiahkan podium kepada penyokong tempatan sebelum terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas dipintas pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe pada penghujung perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Hakim Danish yang memulakan perlumbaan dari petak ketiga memberikan saingan sengit dalam perebutan kelompok hadapan, sekali gus membuka peluang untuk menaiki podium di hadapan ribuan penyokong tanah air.

Bagaimanapun, harapan pelumba berusia 19 tahun itu tidak kesampaian apabila Carpe berjaya memintasnya pada penghujung saingan untuk merampas kedudukan ketiga.

Pelumba Sepanyol, Maximo Quiles, muncul juara perlumbaan diikuti pelumba Indonesia, Veda Pratama di tempat kedua manakala Carpe melengkapkan podium.

Walaupun terlepas peluang menaiki podium, keputusan di tempat keempat tetap memperlihatkan kemampuan Hakim untuk bersaing dengan pelumba terbaik dunia dalam musim sulungnya di Kejuaraan Dunia Moto3.

Lebih membanggakan, Hakim Danish sebelum ini sudah membuktikan potensinya apabila mencipta kemenangan sulung di GP Republik Czech, selain meraih tempat ketiga di GP Itali musim ini.

Pencapaian itu meletakkan pelumba kelahiran Terengganu berkenaan antara bakat muda yang wajar diberikan perhatian dalam saingan Moto3, terutama selepas berjaya memberikan cabaran di hadapan penyokong sendiri.

Scroll to Top