Hakim Danish tunggu, lihat dan sailang!

Hakim Danish tunggu, lihat dan sailang!

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli mendedahkan strategi tunggu, lihat dan serang menjadi kunci kejayaannya meraih kemenangan sulung di pentas Kejuaraan Dunia Moto3, Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno pada Ahad.

Kejayaan itu hadir hasil kesabaran Hakim Danish yang kekal bersama kelompok hadapan sebelum memanfaatkan peluang pada saat akhir perlumbaan untuk melakukan pintasan kemenangan yang penuh bergaya.

“Saya cuba kekal dalam kelompok hadapan, mencari ruang dan menunggu masa yang sesuai untuk menyerang,” ujar pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu.

Strategi tersebut membuahkan hasil apabila pelumba berusia 18 tahun itu mengambil kesempatan ke atas kesilapan dua pencabar, Maximo Quiles dan Brian Uriarte pada pusingan terakhir sebelum melintasi garisan penamat sebagai juara.

Kemenangan itu turut menamatkan penantian Malaysia untuk kembali meraih kemenangan di pentas Moto3, sekali gus mengimbau kejayaan Khairul Idham Pawi di GP Jerman 2016 ketika lagu Negaraku kali terakhir berkumandang.

Lebih manis, hujung minggu cemerlang Hakim Danish turut diperkukuhkan dengan catatan dua rekod terpantas sepanjang zaman Litar Brno sebelum perlumbaan utama berlangsung.

Bagaimanapun, laluan ke podium utama tidak mudah apabila beliau dikenakan penalti 12 petak grid sebelum perlumbaan, sekali gus memaksanya bermula dari petak ke-14.

Namun, situasi itu tidak menghalang kebangkitan apabila Hakim Danish kekal konsisten sepanjang perlumbaan sebelum menamatkan saingan sebagai juara.

Hakim Danish turut merakamkan penghargaan kepada pasukan, penaja, keluarga dan penyokong yang sentiasa memberi sokongan berterusan.

“Sokongan anda semua memberi motivasi besar untuk saya terus berjuang dan mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Kejayaan di Litar Brno menyaksikan Hakim Danish memperbaiki kedudukan senarai pelumba Moto3 untuk menghuni tangga ketujuh berbanding 10 sebelum ini dengan mengutip 73 mata.

Malah, kemenangan di Brno dilihat menjadi tonik terbaik buat pelumba kelahiran Terengganu itu bagi menghadapi pusingan seterusnya di GP Belanda bermula 26 hingga 28 Jun ini.

Scroll to Top