Hampir 50 peratus kes kanser payudara dikesan pada tahap lewat

Hampir 50 peratus kes kanser payudara dikesan pada tahap lewat

KUALA LUMPUR – Hampir 50 peratus kes kanser payudara di Malaysia masih dikesan pada tahap lewat iaitu tahap tiga atau empat, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap pengesanan dan saringan awal.

Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser payudara Tahap IV menurun kepada 23 peratus, berbanding hampir 90 peratus bagi kes yang dikesan pada peringkat awal.

Pengarah Pemasaran Ace Canning Corporation Sdn Bhd, Chang Wan Ping berkata, kempen ‘Stop That Dot Together’ memasuki tahun ketiga bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal kanser payudara, selain menggalakkan penglibatan keluarga, pasangan, sahabat dan komuniti dalam menyokong wanita menjalani saringan.

“Di Homesoy, kami percaya dalam usaha menyokong kesihatan dan kesejahteraan wanita di setiap peringkat kehidupan mereka. Kesihatan payudara merupakan sebahagian penting daripada komitmen tersebut dan kami percaya tiada wanita yang harus mengharungi perjalanan ini bersendirian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagi menterjemahkan kesedaran kepada sokongan nyata, Homesoy menyumbang bantuan kewangan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bagi program saringan di seluruh negara dan Penyelidikan Kanser Malaysia (CRMY) untuk membiayai kajian khusus terhadap wanita Malaysia.

Homesoy bekerjasama dengan NCSM dan lebih 40 pusat perubatan di seluruh negara, termasuk Pusat Perubatan Sunway, Pusat Perubatan Subang Jaya, Pusat Perubatan Prince Court dan hospital KPJ serta Columbia Asia.

Program Stop That Dot oleh Homesoy

Program Stop That Dot oleh Homesoy

Wanita yang menjalani saringan di lokasi terbabit menerima satu pek Susu Soya Homesoy 3.0 secara percuma, dengan nilai sumbangan keseluruhan RM100,000.

Pakar Bedah Am dengan pengkhususan dalam pembedahan payudara Hospital Columbia Asia Klang, Dr Kiran Kaur Amer Singh berpandangan, pengesanan awal membolehkan perubahan dikenal pasti sebelum gejala muncul ketika rawatan lebih berkesan.

“Saringan secara berkala membolehkan kita mengenal pasti perubahan jauh lebih awal sebelum gejala muncul iaitu ketika rawatan lebih berkesan dan berpotensi memberikan hasil rawatan yang lebih baik.

“Mamogram kekal sebagai standard utama kerana ia mampu mengesan keabnormalan kecil yang belum dapat dirasai melalui sentuhan,” katanya.

Menurut WHO GLOBOCAN 2022, kanser payudara menyumbang lebih 30 peratus daripada keseluruhan diagnosis kanser dalam kalangan wanita di Malaysia dan menjejaskan kesihatan satu daripada 20 wanita sepanjang hayat mereka.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pula mendapati 75 peratus wanita berusia lebih 40 tahun tidak pernah menjalani ujian mamogram sepanjang hayat mereka.

Komunikator Sains Penyelidikan Kanser Malaysia, Fatin Aina Zulkhairi Amin berkata, penggunaan kit taktil ‘Know Your Lemons’ yang menampilkan model visual 12 biji lemon dapat membantu wanita mengenal pasti perubahan fizikal pada payudara selain ketulan biasa.

“Kesihatan payudara bukan sekadar mencari ketulan pada payudara. Alat yang mudah difahami seperti ‘Know Your Lemons’ dapat mendidik wanita mengenal pasti perubahan kecil yang boleh dilihat atau dirasai serta memberikan keyakinan untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan,” katanya.

Dalam masa sama, Ketua Unit Pemakanan Ace Canning Corporation Sdn Bhd, Soo Sek Yow memaklumkan, soya tidak menyebabkan kanser payudara, malah kajian saintifik semasa menunjukkan pengambilan makanan berasaskan soya yang lebih tinggi boleh memberi kesan perlindungan terhadap penyakit itu.

“Soya mengandungi sebatian tumbuhan semula jadi yang dikenali sebagai isoflavon, iaitu sejenis estrogen berasaskan tumbuhan, namun sebatian ini tidak bertukar menjadi estrogen manusia di dalam tubuh.

“Memilih susu soya diperkaya yang berkualiti tinggi merupakan pilihan terbaik untuk memenuhi keperluan pemakanan harian,” katanya.

Scroll to Top