Hampir 8,000 aduan ‘deepfake’ diterima MCMC setakat 15 Jun

Hampir 8,000 aduan ‘deepfake’ diterima MCMC setakat 15 Jun

KUALA LUMPUR – Sebanyak 7,967 aduan berkaitan kandungan video palsu atau ‘deepfake’ direkodkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat 15 Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, secara keseluruhan dalam tempoh dua tahun setengah, MCMC menerima sebanyak 12,496 aduan berkaitan kandungan ‘deepfake’.

Menurutnya, sebanyak 11,677 daripadanya telah diturunkan selepas permohonan dikemukakan kepada platform terbabit.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin menjadi isu serius.

“Pada 2024 sahaja, sebanyak 917 aduan direkodkan dan jumlah itu meningkat kepada 3,612 kes pada tahun berikutnya,” katanya di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN–Bera) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah pengguna media sosial yang menyalahgunakan teknologi kercerdasan buatan (AI) serta tindakan kawal selia yang diambil bagi mengelakkan rakyat terpedaya dengan maklumat palsu, fitnah dan manipulasi visual di media sosial.

Nie Ching menjelaskan, menerusi Kod Tindakan Keselamatan Dalam Talian, MCMC telah memperkenalkan Kod Pengurangan Risiko yang mewajibkan penyedia platform berlesen melabel kandungan yang berkemungkinan dijana menggunakan AI.

Ujarnya, MCMC ketika ini sedang berhubung dengan penyedia platform berlesen bagi memastikan pelaksanaan kewajipan berkenaan dipatuhi sepenuhnya.

“Kementerian Komunikasi turut bekerjasama dengan Kementerian Digital melalui Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) serta pelbagai agensi berkaitan bagi memperkukuh kerangka dasar dan perundangan berkaitan AI.

“Kementerian Komunikasi bersedia untuk bekerjasama dengan agensi dan kementerian berkaitan bagi memastikan undang-undang sedia ada mencukupi dalam menangani cabaran teknologi AI,” kata beliau lagi.

Scroll to Top