sukan@hmetro.com.my
Seremban: Selepas berjaya meraih tiga pingat gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, Persatuan Muay Thai Negeri Sembilan (PMTNS) yakin pencapaian itu akan dapat ditingkatkan pada temasya sama di Selangor pada 2026.
Keyakinan itu bersandarkan kepada beberapa atlet muda dari Negeri Sembilan yang dilihat semakin menonjol dalam beberapa kejohanan besar di peringkat kebangsaan dan dunia pada tahun ini.
Jurulatih PMTNS, Muhammad Faisal Zulkeple berkata, antara atlet muda semakin meningkat naik termasuk Hana Umairah Mohd Faizal, 14, yang juga pelajar SMK King George V Seremban dan Zukarnain Affendy, 13, SMK Ampangan.
“Kedua-dua atlet berkenaan baharu saja memenangi kejohanan kebangsaan di mana Hana Umairah dinobatkan selaku juara kebangsaan bagi kategori 50 kilogram (kg) manakala Zukarnain bagi kategori 37kg.
“Kami mempunyai ramai atlet pelapis berpotensi untuk mencapai tahap lebih baik sebagai persiapan menghadapi Sukma 2026,” katanya di sini, hari ini.
Menurut jurulatih itu, Hana Umairah antara atlet mampu dijadikan sandaran selepas menunjukkan peningkatan prestasi memberangsangkan dalam banyak kejohanan antaranya meraih perak dalam Kejohanan Muay Thai Dunia 2024 di Bangkok Thailand, September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




