Haniff Hamzah kongsi pengajaran berharga masuk dunia hiburan

Haniff Hamzah kongsi pengajaran berharga masuk dunia hiburan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Only you can make yourself a star (Hanya anda yang boleh menjadikan diri anda bintang (atau berjaya).”

Itu ungkapan yang menjadi pegangan penyampai radio, Haniff Hamzah, 42, sehingga kini apabila mengimbau pengalaman awalnya melangkah masuk ke dunia hiburan.

Haniff berkata, pengalaman itu bermula ketika dia bersama rakan penyampai radio, Ray menghadiri acara di sebuah stesen televisyen.

Menurutnya, mereka masih baharu dan sanggup membeli pakaian baharu yang mahal semata-mata mahu tampil kemas disebabkan belum memahami budaya industri.

“Kami tiba lebih awal di lokasi acara dan menunggu di ruang bergambar sebelum kehadiran wartawan yang memandang pakaian mereka lalu bertanya, “Ini saja ke?” sehingga membuatkan kami sedikit tersentak.

“Namun, Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi) muncul dengan persalinan tambahan yang dibawa pembantunya, sekali gus menyerlahkan perbezaan antara kami yang masih baharu dengan artis berpengalaman,” katanya dalam podcast Kita Kita Aje.

Menurutnya, Pak Nil sempat berseloroh dengan wartawan sambil berkata dia dan Ray kelihatan seperti peminat personaliti terkenal itu sekali gus mengundang gelak tawa.

Walaupun mengakui gurauan itu tidak berniat mengguris hati, Haniff berkata, detik terbabit memberi pengajaran besar dalam perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.

Katanya, ketika itu dia sedar bahawa penampilan semata-mata tidak cukup untuk mencipta nama kerana seseorang perlu membina nilai dan identiti sendiri dalam industri hiburan.

“Sejak hari itu saya pegang satu perkara, ‘Only you can make yourself a star’. Kita sendiri yang perlu bekerja keras, percaya pada diri dan mencipta peluang untuk berjaya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top